Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: K'jaan akan buat duit dari dana berhenti kerja?

Pada dasarnya, rang undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan adalah undang-undang hebat yang dapat membantu rakyat Malaysia sekiranya mereka kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, seorang anggota parlimen pembangkang menimbulkan kebimbangan bahawa rang undang-undang ini digunakan sebagai cara kerajaan membuat wang.

Di bawah rang undang-undang ini, satu Tabung Insurans Pekerjaan ditubuhkan, yang akan mengumpulkan sumbangan daripada majikan dan pekerja.

Dana yang diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini akan diberi kuasa menggunakan wang yang ada untuk membuat pelaburan termasuk pembelian saham dan bon.

Anggota Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen bimbang dana itu akan digunakan bagi bon kerajaan, yang merupakan satu langkah untuk mengisi kantung Putrajaya.

"Apa yang kita tahu kerajaan kini mempunyai masalah aliran tunai. Seandainya demikian, ada keraguan bahawa skim insurans ini boleh mendorong untuk menambahkan lebih banyak wang untuk kerajaan.

"Ini boleh berakhir seperti KWSP yang menjadi badan yang membeli banyak bon kerajaan," kata Wong kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen PKR berkata untuk menghilangkan kebimbangan tersebut, kerajaan harus mendedahkan data dan statistik yang ada mengenai masalah kehilangan pekerjaan.

Beliau berkata ini termasuk kadar pemberhentian dan pemecatan, serta pembayaran yang dijangka daripada dana itu.

"Sekiranya sumbangan jauh melebihi jangkaan pembayaran yang dijangkakan maka apa yang kita ada bukan skim insurans tetapi alat untuk menyelesaikan masalah fiskal Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak," katanya.

Wong juga berkata sekiranya kerajaan ikhlas membantu pekerja, ia harus melaksanakan piawaian antarabangsa berhubung kesatuan sekerja terlebih dahulu.

Rang undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan jika diluluskan akan membolehkan rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan menerima antara tiga hingga enam bulan faedah selepas diberhentikan kerja.

Rakyat Malaysia yang bekerja lebih daripada satu pekerjaan juga berhak menerima elaun selepas hilang pendapatan.

Lihat Komen
ADS