Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Aktivis Datuk Marina Mahathir berkata beliau belum dihubungi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) susulan gesaan sebuah NGO prokerajaan supaya akidahnya diperiksa.

Beliau juga pelik dengan laporan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) terhadapnya semalam.

“Saya rasa mereka ini tidak tahu bagaimana hendak habiskan masa dan mahu buat orang susah.

“Mereka ini pasti datang daripada sekolah politik Trump,” katanya ketika ditemui dalam sebuah persidangan pemberdayaan wanita di Kuala Lumpur hari ini.

Kerana menekan satu 'like' pada status berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Twitter, Marina semalam 'dibawa' ke JAWI.

Ketua Pengarah JMM Wilayah Persekutuan Faizan Mohd Nor menggesa badan itu menangkap serta memeriksa akidah anak bekas perdana menteri itu.

Ditanya sama ada beliau merasakan laporan itu sebahagian daripada kempen memburuk-burukkan beliau dan bapanya, Marina berkata beliau tidak bimbang langsung berkaitan perkara itu.

“Beliau (Mahathir) sudah veteran, beliau tahu cara tanganinya,” kata Marina yang lebih bimbangkan keadaan kesihatan bapanya.

Mahathir baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya ke-92 baru-baru ini.

Laporan JAWI terhadap Marina itu dibuat selepas bapanya menyerang balas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang membangkitkan isu keturunan India Mahathir.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS