Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
6 lelaki ditahan dipercayai menceroboh dan merusuh
Diterbitkan:  Aug 3, 2017 6:13 AM
Dikemaskini: 10:19 PM

Polis menahan enam lelaki selepas dipercayai menceroboh dan merusuh di sebuah rumah di Padang Sera, Kodiang, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata semua suspek yang berumur antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan selepas pemilik rumah berumur 46 tahun membuat laporan polis semalam.

"Ketika kejadian iaitu kira-kira pukul 9 malam, mangsa terkejut apabila 23 lelaki yang menaiki lima kereta datang ke rumahnya dengan membawa batang besi sebelum mereka memberitahu sedang mencari anak saudaranya yang berusia 16 tahun.

"Dua belas lelaki telah masuk ke dalam rumah dan mangsa serta seorang lagi adik lelakinya yang berumur 38 tahun cuba menghalang namun telah ditolak sebelum dipukul dengan kerusi plastik selain diugut," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, suspek turut menendang pintu bilik dan memukul ibu serta anak saudaranya dengan menggunakan kerusi plastik sebelum beredar keluar dari rumah mangsa.

Mohd Ismail berkata akibat kejadian itu, anak saudara mangsa mengalami lebam di hidung, tangan kanan, bahu kiri dan pipi manakala ibunya pula lebam di bahagian tangan kiri dan mangsa serta adiknya cedera ringan.

"Hasil siasatan mendapati anak saudara mangsa mengenali beberapa suspek yang merupakan kenalannya dan kita masih menyiasat punca kejadian keluarga terbabit diserang.

"Susulan laporan yang dibuat, polis berjaya mengesan suspek dan menahan enam daripada 23 lelaki yang terbabit dalam kejadian itu," katanya.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan 448 akta sama kerana menceroboh dan merusuh.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS