Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN serius tawan Johor
Diterbitkan:  Aug 3, 2017 1:19 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

ULASAN | Kami mengambil maklum berita yang tersebar mengenai isu calon Menteri Besar Johor mengaitkan nama saya, Salahuddin Ayub dan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan seperti mana dilaporkan sebuah portal.

Kami ingin tegaskan bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor ketika ini berada pada kedudukan sangat kukuh dan bersedia mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa.

Disamping nama kami yang cuba diketengahkan menerusi portal berita tersebut, saya ingin mengingatkan bahawa kami turut mengemukakan tokoh-tokoh besar yang lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ADUN Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan tokoh pejuang rakyat Hassan Karim sebagai pemain utama di Johor menjelang PRU14.

Hal ini membuktikan iltizam serta keseriusan HARAPAN Johor dalam merealisasikan perubahan di negeri paling selatan ini seterusnya memastikan Johor menjadi penyumbang yang signifikan untuk perubahan di peringkat nasional.

Ia menunjukkan kesepaduan HARAPAN diperingkat negeri dan nasional untuk berhadapan Umno, BN di Johor.

Sekaligus, ia merupakan kontras kepada kompas perjuangan BN negeri yang dilihat tiada kesepaduan, tidak rukun dan tidak selari dengan kepimpinannya di peringkat pusat yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terpalit pelbagai skandal.

Dengan ramainya tokoh-tokoh yang dikemukakan HARAPAN untuk berpencak di Johor juga, ia mematahkan propaganda Menteri Besar merangkap Pengerusi Barisan Nasional Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang cuba mengheret perlawanan antara HARAPAN-BN di Johor sebagai pertembungan survival antara kuasa politik Melayu melawan Cina dalam kerangka lapuk perkauman sempit tajaan mereka.

Rakyat khususnya bangsa Johor boleh menilai keseriusan dan iltizam HARAPAN untuk menerajui Johor kearah tatakelola berkerajaan yang lebih baik, demokratik dan beramanah dalam membela nasib rakyat.

Kami juga yakin dengan strategi meletakkan Johor sebagai medan pertempuran paling sengit menjelang PRU14, HARAPAN akan memberikan lebih banyak ruang lagi kepada tokoh-tokoh utama kami untuk menyumbang di Johor.

Adapun isu berkaitan calon menteri besar, hal ini sekiranya berbangkit dan menjadi satu keperluan, ia akan diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi HARAPAN dengan berteraskan semangat muafakat dalam kerjasama politik yang dibentuk.

Mana-mana pihak boleh sahaja membuat spekulasi. Namun kami tegaskan, keutamaan HARAPAN adalah memenangi PRU14 yang akan datang untuk mengangkat semula maruah dan membela nasib rakyat yang gagal digalas oleh Umno, BN.


Ulasan oleh Salahuddin Ayub, timbalan presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga naib presiden Pakatan Harapan dan Amiolhuda Hasan, pengerusi Amanah Johor.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS