Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bauksit: 9 k'tangan PTG Pahang direman seminggu
Diterbitkan:  Aug 3, 2017 3:31 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Sembilan penolong penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berkaitan perlombongan bauksit haram di Kuantan.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman membenarkan permohonan tahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu yang dikemukakan menerusi Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fadhly Mohd Zamri.

Semua suspek yang berusia antara 29 hingga 59 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, perbuatan disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti perlombongan haram.

Mereka ditahan di sekitar daerah ini pada pukul 3.30 hingga 3.45 petang semalam dan dibawa ke Kompleks Mahkamah di sini pada pukul 10.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Mereka adalah daripada 10 individu yang ditahan dalam operasi khas SPRM yang diadakan ekoran aktiviti perlombongan itu masih berjalan walaupun kerajaan telah mengenakan tempoh moratorium sehingga 31 Disember depan.

Turut ditahan ialah seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) berusia 56 tahun, yang telah direman sehingga 8 Ogos.

Dalam operasi itu, SPRM turut menahan 18 buah lori yang sedang mengangkut bauksit dari lombong haram sekitar Bukit Goh dan Bukit Sagu di sini.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya mengesahkan bahawa pihaknya memantau kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS