Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Indeks syariah M'sia meningkat kepada 76.06 peratus
Diterbitkan:  Aug 3, 2017 3:44 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peningkatan ketara prestasi pentadbiran negara berdasarkan skor Indeks Syariah.

Skor keseluruhan bagi 2017 yang dinilai daripada perspektif Maqasid Syariah adalah sebanyak 76.06 peratus, meningkat 0.64 peratus berbanding 75.42 peratus pada 2015.

Perdana menteri berkata skor fasa kedua itu mencatatkan peningkatan yang amat ketara dalam empat bidang iaitu kesihatan, prasarana dan persekitaran, ekonomi dan sosial.

Pencapaian atau skor empat bidang lain iaitu pendidikan, politik, perundangan dan budaya pula berada di tahap yang memberangsangkan, katanya.

"Alhamdulillah, ini adalah satu pencapaian yang kita harapkan, untuk terus memandu kerajaan mentadbir negara selaras dengan Maqasid Syariah," katanya ketika membentangkan Laporan Kajian Indeks Syariah Malaysia 2017 bersempena Majlis Perdana Ulama Umara dan NGO Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsan Putrajaya di Putrajaya hari ini.

Indeks Syariah Malaysia adalah satu kaedah pengukuran yang saintifik dan menyeluruh bagi mengukur kedudukan kerajaan dalam menjalankan pentadbiran negara berdasarkan lima prinsip asas Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Najib berkata penyelidikan kali kedua Indeks Syariah itu melibatkan seramai 222 orang penyelidik daripada enam buah universiti awam dengan responden keseluruhan seramai 27,292 orang; pembuat dasar (2,280); pelaksana dasar (6,555) dan masyarakat umum seramai 18,457 orang.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa apa yang menarik tentang dapatan Indeks Syariah Malaysia 2017 ialah jumlah responden adalah terdiri daripada Islam dan bukan lslam.

"Tambah menarik 50 peratus daripada responden masyarakat adalah mereka yang berumur 21 hingga 30 tahun yang merupakan generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya.

Najib berkata beberapa dapatan penting Indeks Syariah 2017 juga membuktikan bahawa langkah dan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan, memberi impak dan maslahah kepada rakyat.

Dalam bidang kesihatan, Najib berkata dapatan dan skor yang diberi dari aspek menjaga agama adalah sebanyak 92 peratus berdasarkan kejayaan kerajaan menyediakan kemudahan beribadat kepada rakyat di klinik dan hospital kerajaan selain memperluaskan perkhidmatan serta kemudahan melalui pembukaan Klinik 1Malaysia.

Perdana menteri berkata Indeks Syariah dalam bidang prasarana dan persekitaran pula dinilaikan sebanyak 86.7 peratus atas usaha kerajaan mengutamakan aspek menjaga nyawa dalam dasar pengurusan sisa pepejal termasuk memastikan keseimbangan dalam soal pembangunan infrastruktur dan prasarana untuk rakyat secara menyeluruh seperti projek Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi bumi Sabah dan Sarawak.

Dalam bidang sosial pula, penilaian sebanyak 82 peratus diberikan dari aspek penjagaan agama kerana kerajaan sentiasa memberi kemudahan kepada rakyat dalam aktiviti keagamaan mengikut Perlembagaan, katanya.

Mengenai bidang ekonomi yang mencapai 65.46 peratus, perdana menteri berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan dalam meringankan bebas masyarakat yang terbeban dengan kos sara hidup.

"Lebih menarik, dapatan Indeks Syariah daripada aspek menjaga harta mengikut prinsip Maqasid Syariah menunjukkan rakyat berpuas hati bahawa inisiatif memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) telah berjaya membantu mengurangkan beban kewangan rakyat,”katanya.

Mengenai bidang ekonomi yang mencapai 65.27 peratus pula, Najib berkata walaupun asas sistem ekonomi Malaysia adalah konvensional namun kerajaan sentiasa berusaha mengadaptasi syariah dalam sistemnya secara berperingkat malah banyak dasar ekonomi negara kini bertepatan dengan Maqasid Syariah.

Dalam bidang politik pula, kajian dari aspek menjaga agama merumuskan nilai skor bagi bidang itu adalah sebanyak 92 peratus kerana berjaya meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam memastikan kestabilan politik negara, katanya.

Di majlis berkenaan, perdana menteri turut mengumumkan pemberian sumbangan khas kerajaan sebanyak RM2 juta kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam sebagai menghargai sumbangan dan peranan berterusan mereka dalam proses membina negara.

Najib turut menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Agama Sepanjang Zaman kepada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria atas peranannya dalam menyemarakkan syiar Islam di Malaysia.

Di majlis sama, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad dan Timbalan Presiden Aqsa Syarif, Dr. Fauziah Mohd. Hassan masing-masing diumumkan Tokoh NGO Lelaki dan Wanita.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa diumumkan Tokoh NGO Belia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS