Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Irwan: Walau jika PM mahu tender langsung, ia masih disemak JK MOF

Arahan dari perdana menteri berhubung tender projek masih tertakluk kepada semakan jawatankuasa perolehan Kementerian Kewangan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Katanya, jawatankuasa perolehan itu menyemak semua kontrak projek, sama ada ianya melalui tender langsung, tender terhad, atau tender terbuka.

"Jadi, ia akan menjadi keputusan jawatankuasa itu, dan kita menilai, kita meneliti daya maju teknikal, dan sebagainya.

"Jadi, jika ada (surat) dengan tandatangan perdana menteri atau arahan menteri, ia akan melalui jawatankuasa tersebut dan kita mengikut prosedur operasi standard," katanya.

Irwan berkata demikian dalam sesi bersama media mengenai Laporan Audit 2016 yang diterbitkan pada hari Isnin, di Putrajaya hari ini.

Beliau ditanya mengenai apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan untuk menghadkan pemberian tender secara langsung, khususnya selepas laporan audit itu membangkitkan beberapa projek yang bermasalah, termasuk kelewatan projek Hospital Bera, telah melalui tender langsung atau tender terhad.

Dalam kes Hospital Bera, laporan audit itu mengatakan bahawa menteri kewangan yang mengarahkan kontraktor terlibat dilantik melalui rundingan langsung.

Irwan mempertahankan penggunaan tender langsung dalam projek-projek kerajaan, dengan mengatakan ada masanya ia dilakukan ntuk "menjimatkan masa dan kos."

Menurutnya, syarikat terkenal yang memenangi kontrak melalui tender terbuka pun boleh menghadapi kesulitan dan kelewatan projek.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan tender langsung sedang dikurangkan.

Beliau berkata hanya 39 peratus kontrak kerajaan telah dianugerahkan tahun lepas melalui tender langsung, berbanding hampir 60 peratus melalui tender terbuka.

Satu peratus lagi projek telah dianugerahkan melalui tender terhad, katanya.

Kemudian, ketika mengulas mengenai keadaan ekonomi, Irwan menceritakan bagaimana projek MRT telah membantu Malaysia mengekalkan penarafan kredit "A-" dengan Fitch Ratings.

"Apabila Fitch Ratings datang, saya membawa mereka ke bandar Tun Razak Exchange (TRX).

"Saya pergi 40 kaki di bawah tanah untuk menunjukkan kepada mereka stesen MRT, untuk menunjukkan bahawa kita sama dengan negara maju.

"Dan mereka sangat kagum, dengan segera mereka berkata 'kami akan mengekalkan penarafan 'A' anda," kata Irwan.

Tidak jelas bila ini berlaku, tetapi Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit Malaysia sebagai "A-" dengan unjuran yang stabil pada Ogos lalu.

Irwan juga berkata hutang kerajaan yang semakin meningkat untuk membiayai pembangunan, akan membawa kemakmuran ekonomi dalam jangka masa panjang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS