Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan tubuh 14 jawatankuasa siasat 60 teguran punitif
Diterbitkan:  Aug 3, 2017 6:00 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Kerajaan menubuhkan 14 jawatankuasa siasatan untuk menyiasat 60 teguran punitif atau salah laku dan kecuaian melibatkan 11 kementerian susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

"Siasatan itu bertujuan untuk memperoleh keterangan yang relevan dari aspek kesaksian dan keterlibatan pegawai dalam kes-kes yang dilaporkan,” katanya pada sesi bersama media berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2016 Siri 1 di Putrajaya hari ini.

Katanya 11 kementerian itu ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Pertahanan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Kesihatan; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Pendidikan; Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata berdasarkan siasatan sehingga 2 Ogos, 31 teguran atau 52 peratus daripada 60 teguran punitif itu mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib melibatkan 119 pegawai dan sembilan hasil pengauditan sedang ditelitli oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Sebanyak 24 teguran (40 peratus) didapati tiada unsur penyelewengan penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas, tetapi memerlukan penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa. Ini telah disahkan dalam penelitian susulan bersama Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan dan SPRM," katanya.

Ali berkata lima teguran lagi sedang disiasat lanjut bagi mengenal pasti pegawai yang bertanggungjawab.

Di peringkat kerajaan negeri pula, sebanyak 12 jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi menyiasat 43 teguran punitif membabitkan 12 kerajaan negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Sabah, katanya.

"Lima teguran telah selesai disiasat dan 17 pegawai mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib, manakala lapan teguran didapati tiada unsur penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas tetapi memerlukan penambahbaikan dan 30 teguran lagi masih dalam siasatan.

"Baki 44 atau lima peratus teguran punitif akan diteliti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara yang melibatkan badan berkanun dan syarikat," katanya.

Secara keseluruhan, Ali berkata terdapat 895 teguran audit membabitkan 748 korektif dan 103 punitif dalam LKAN Tahun 2016 Siri 1.

Mengenai tindakan ke atas pegawai dalam kes LKAN 2012 hingga 2015, Ali berkata kes melibatkan 528 pegawai telah diselesaikan.

Menurutnya 167 pegawai diambil tindakan tatatertib dan surcaj oleh Lembaga Tatatertib berkenaan meliputi hukuman amaran sehingga buang kerja manakala satu kes masih dalam siasatan SPRM.

Daripada 167 pegawai itu, 77 diberikan amaran, denda (8), tangguh pergerakan gaji (19), turun gaji (10), turun pangkat (seorang), buang kerja (2), denda dan amaran (3), denda dan surcaj (2), surcaj dan amaran (9), dua ditangguh pergerakan gaji dan diberi amaran, turun gaji dan amaran (3), turun gaji dan denda (seorang), turun pangkat dan amaran (seorang) dan surcaj (29).

"Saya ingin tegaskan kerajaan amat memandang serius teguran Ketua Audit Negara demi mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti,” katanya.

Ali berkata kerajaan juga menjalankan pelbagai usaha antaranya mengadakan program pemantapan kompentensi dan nilai integriti, lab resolusi LKAN serta seminar isu-isu semasa pengurusan kewangan kerajaan tahun 2017 dan pemantauan ke atas projek-projek pembangunan.

"Bila kita buat tinjauan, lebih daripada separuh tidak mempunyai punitif langsung. Perkataan punitif itu terlalu keras," katanya.

Dalam pada itu, Ali berkata sejumlah 449 organisasi telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang merupakan inisatif SPRM bermula Januari ini bagi memastikan pemimpin organisasi dan anggotanya secara sukarela melaksanakan tugas dengan berhemah dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.

- Bernama


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS