Paling Popular
Terkini

Baru-baru ini seorang wakil rakyat DAP Johor telah menulis sebuah rencana dalam RoketKini menyatakan hasil tinjauan mereka berasaskan konvensyen BN yang baru sahaja diadakan membuktikan bahawa BN Johor semakin goyah dan berada dalam keadaan cemas menghadapi Pilihan Raya Umum(PRU) ke 14 yang bakal menjelang.

Antara hujah-hujah yang dilontarkan Anggota Parlimen DAP Liew Chin Tong adalah kerjasama erat yang berlaku di antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melonjakkan sokongan rakyat, khasnya di Johor ini kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Selain daripada itu, teguran dan mesej yang jelas dari Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Perhubungan BN Johor dan Menteri Besar Johor agar BN tidak memandang enteng dan pertempuran sengit bakal berlaku, sebagai tanda bahawa kedudukan BN di Johor bukan lagi sebagai kubu kuat parti itu.

Natijahnya, kata Liew, BN akan tewas beberapa kerusi dan akhirnya Harapan bakal menakluk Putrajaya dan BN akan tersungkur pada PRU nanti.

Terima kasih saya ucapkan kepada Liew kerana berjaya memberikan komen dan pandangan yang menarik selain membakar semangat kami Pemuda Umno Johor. Bagi kami, ingatan yang telah disampaikan Khaled amat tepat.

Walaupun umum mengetahui Anwar Ibrahim telah memberikan persetujuan untuk bekerjasama dengan Mahathir demi survival politik mereka berdua, kami yakin kerjasama mereka berdua lebih bersifat “marriage of convenience”.

'Ubat tamat tempoh'

Pemuda Umno tidak gentar dan gusar dengan pakatan Anwar dan Mahathir. Kami yakin rakyat akan dapat menilai politik rakus Mahathir dan Anwar, sebagai mana yang pernah dimaklumkan kepada rakyat pada setiap ceramah reformasinya.

Ya, analogi yang telah disampaikan Khaled tentang Mahathir sememangnya tepat sekali. Bagi kami Pemuda Umno, Mahathir bagaikan ubat yang telah tamat tempohnya. Suatu ungkapan yang pernah dinyatakan oleh mendiang Karpal Singh terhadap Mahathir.

Bukan kami tidak mengenang jasa Mahathir. Namun buat kami, Mahathir umpama kuda lumba yang tidak diperlukan lagi khasnya oleh Umno dan negara amnya.

Kepada Liew, zaman telah berubah dan Mahathir sendiri telah pun melalui era kegemilangannya.

Namun sejarah juga tidak boleh menipu. Apa yang dilakukan Mahathir sewaktu menjadi perdana menteri adalah untuk kepentingan diri sendiri dan beliau adalah punca segala masalah yang sedang dihadapi oleh negara hari ini.

Mahathir didakwa telah meranapkan dan hampir-hampir membankrapkan negara Malaysia apabila segala dasar-dasarnya lebih membawa keuntungan kepada kaum kerabat serta kroni-kroninya.

Pesanan Ulama 

Mahathir amat bertuah kerana Malaysia pada waktu itu merupakan sebuah negara yang kaya dengan hasil buminya dan atas sebab tersebut, maka ekonomi Malaysia tetap stabil dan tidak mengalami kemerosotan seperti yang berlaku di beberapa negara lain di dunia.

Pada kami, sememangnya kami tidak lagi mahu Mahathir kerana beliau telah melakukan pelbagai kerosakan semasa zaman beliau berkuasa. Bukan cakap kami, Liew boleh mendapatkan maklumat ini daripada Mohamad Sabu, Rafizi Ramli dan Anwar sendiri!

Ingatkah Liew terhadap pesanan seorang ulama Malaysia dan juga merupakan pemimpin parti Islam yang sebelum beliau meninggal dunia, sempat berdoa agar Allah memanjangkan umur Mahathir agar dia dapat melihat segala kerosakkan yang telah beliau lakukan.

Alhamdulillah, Allah telah perkenankan doa seorang alim dan umara’ yang berjuang untuk rakyat dengan penuh keikhlasan. Liew, selamat menerima Mahathir dan semoga DAP dan juga HARAPAN akan terus kelam dan tenggelam bersama manusia bernama Mahathir.

Jika Liew rajin membaca laporan ekonomi negara yang diibaratkannya sebagai propaganda, laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia amat jelas menyatakan bahawa ekonomi Malaysia semakin stabil di samping kepimpinan dan pendekatan bijak Datuk Seri Najib berjaya membawa Malaysia keluar daripada kemelut dan kemelesetan serta kelembapan ekonomi dunia.

Ekonomi Malaysia diunjurkan IMF dan Bank Dunia untuk berkembang sebanyak 5.6% untuk tahun hadapan. Unjuran tersebut dibuat Ketua Ekonomi dan Pengarah Penyelidikan IMF, Maurice Obsfeld.

Rasanya ilmu dan kewibawaan Maurice Obsfeld itu jauh lebih tinggi daripada Liew yang hanya mendapat dan menyandarkan laporan daripada sifunya Lim Kit Siang semata-mata.

Keturunan Dr. Mahathir

Kalau Datuk Seri Zahid Hamidi kini cuba dikaitkan dengan isu keturunan Mahathir, sayugia saya ingin perjelaskan bahawa apa yang dinyatakan Zahid sebenarnya hanya sekadar melaungkan ungkapan dan penghinaan yang pernah dilakukan Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu serta barisan kepimpinan pembangkang suatu ketika dahulu. Bukankah hal ini ironis Liew?

Lim Guan Eng dan kuncu-kuncunya menghina Mahathir sejak dahulu lagi, terutamanya Anwar dan Mohamad Sabu, namun secara tiba-tiba DAP dan PKR begitu mempertahankan isu siapa Mahathir dan asal keturunan Mahathir.

Tidak cukup dengan itu, mereka memberikan sepenuh kepercayaan bahawa Mahathirlah yang akan menyelamatkan Malaysia dan HARAPAN?

Hanya orang yang tidak siuman yang mempunyai kepercayaan dan harapan sebegini.

Mohon Liew dan sahabatnya, Akmal Nasir menggunakan carian “youtube” dan anda berdua pastinya akan terkejut dengan cercaan dan penghinaan yang Mahathir terima daripada kepimpinan utama PKR, DAP dan AMANAH itu sendiri. Jangan hanya tahu berkata-kata tetapi tidak tahu apa yang diperkatakan.

Kerajaan Umno BN Johor telus lagi berani berbanding kerajaan PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang. Johor pimpinan Khaled (gambar) telah menunjukkan kesungguhan memerangi rasuah di kalangan anggota kerajaan negeri.

Tertangkapnya bekas exco kerajaan Johor amat jelas membuktikan sifat dan tanggungjawab Johor berbanding dengan kedua-dua kerajaan DAP dan PKR yang menaungi Liew dan Akmal.

Jangan kata hendak tandatangan aku janji integriti membanteras rasuah, malahan bukan main menjadi-jadi lagi dakwaan rasuah dan penyelewengan di Pulau Pinang dan Selangor. Isu banglo, cukup jelas! Tetapi yang disalahkan adalah BN dan Umno? Dia yang didakwa mencuri, orang lain pula yang dipersalahkan.

Kutipan wang zakat pun didakwa habis disapu dan diselewengkan di Pulau Pinang. Itu belum cerita lagi kisah terowong dan laluan basikal di Pulau Pinang yang amat memalukan. Beratus juta wang rakyat didakwa dihabiskan. Tetapi Liew dan Akmal membisu seribu bahasa!

Akmal, jadilah anak jantan tulen. Bangsa saudara sendiri di Pulau Pinang mendakwa dihalau umpama anjing, namun saudara diam. Kepada BN jualah mereka mohon bantuan.

Liew, masyarakat Cina pun sudah tahu dakwaan penipu dan perompak terbesar itu. Hasil kerajaan negeri didakwa umpama piggy bank dinasti Lim, kenapa Liew diam?

Rakyat semakin menyampah dengan politik pembohongan DAP. Pada pilihan raya-pilihan raya lepas, DAP sememangnya suka mempermainkan isu-isu perkauman dan yang paling ketara, menuduh pemimpin Melayu Umno dan BN sebagai korup dan DAP adalah parti yang bersih.

Liew kena rajin membaca. Apa jadi dengan CAT di Pulau Pinang? Tinggal slogan semata-mata? Duit habis berjuta-juta tetapi terowong tidak wujud? Mana ada negeri dan negara yang hendak buat terowong menghabiskan duit rakyat dengan kajian? Banglo murah sebab tiada kolam renang? Kos hendak buat lebuh raya lebih mahal?

Berapa banyak orang Melayu di Pulau Pinang telah kehilangan tempat tinggal apabila tanah yang mereka duduk lebih dari 50 tahun dirampas kerajaan Lim?

Kita juga tentu tidak akan lupa bagaimana Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti menangis kerana tiada peruntukan yang disalurkan Lim Guan Eng. Jika Karpal Singh masih hidup, saya rasa dia pun akan buat parti baru yang lebih demokratik daripada DAP.

Melayu mudah lupa, kata Mahathir. Tetapi orang-orang Melayu sudah bosan dan tidak akan lupa bagaimana Mahathir telah menipu rakyat atas nama pembangunan dan kemajuan. Orang Cina pun tidak akan lupa yang Lim Guan Eng pun sudah macam Mahathir. Sudah pandai menipu orang Cina.

Umno dan rakan-rakan dalam BN pun tidak pernah lenyapkan kampung orang-orang Cina dan India. Tapi Guan Eng dan DAP sudah buat itu semua. Pulau Pinang adalah “a failed state!” Sebuah kerajaan yang gagal!

Untuk Liew, kami sememangnya mahukan DAP mengambil Mahathir sebab kami mahu rakyat tahu, orang yang bernama Mahathir adalah seorang pemimpin yang telah banyak membuat kerosakan dan kemusnahan dalam pelbagai perkara. Untuk Liew, “have fun with Mahathir” and “all the best to you”.

“Honestly, we are better off without him!” Kami tidak ada masa untuk melayan segala macam tohmahan daripada Liew ataupun rakan-rakan Liew kerana agenda membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat adalah agenda utama kami.

Saya mohon Liew tolong ajar Guan Eng tentang permainan wayang opera Cina yang disutradarakan Lim Kit Siang dan dilakonkan Guan Eng serta Betty.

Pesanan saya buat Akmal dan Liew, rumah kamu sudah hendak runtuh, jangan berlagak pandai mahu menegur rumah kami yang tersergam indah dan kukuh, sekalipun hiasan luarannya tidak begitu menarik pada mata Liew dan Akmal.


AZMAN JAAFAR ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno,  Bahagian Pasir Gudang, Johor.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS