Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua individu yang dipercayai mempunyai kaitan
dengan pembelian sebuah hotel mewah di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh Felda Investment Corporation
(FIC) .
Sumber SPRM berkata suspek yang ditahan adalah seorang peguam dan pembantu wanita yang disyaki terlibat
menguruskan proses dokumentasi perjanjian jual beli di antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum ia dijual kepada
FIC.
“Suspek pertama adalah seorang peguam berusia 44 tahun yang beroperasi di Kuala Lumpur manakala suspek wanita
berusia 29 tahun adalah pembantu perundangan di firma undang-undang itu.
“Kedua-dua mereka ditahan sekitar jam 4 petang di ibu pejabat SPRM Putrajaya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sumber itu berkata peguam itu juga mempunyai kaitan dengan pemilik syarikat yang membuat urusan jual beli hotel
dengan FIC.
“Suspek wanita pula dipercayai turut memainkan peranan penting terlibat dalam menandatangani perjanjian jual beli itu,”
katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
“SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada lebih ramai lagi individu yang ditahan selepas ini,” katanya.
Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Putrajaya esok untuk membantu siasatan.
Penahanan terbaru ini menjadikan tiga orang telah ditahan SPRM setakat ini bagi membantu siasatan pembelian hotel
tersebut.
Isnin lepas, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC berusia 46 tahun direman empat hari (sehingga 4 Ogos) bagi
membantu siasatan itu. Dia ditahan di Ibu Pejabat SPRM setelah hampir 12 jam memberi keterangan berkaitan kes
berkenaan.
SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh
FIC, dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat FELDA itu
mengalami kerugian jutaan ringgit.
FIC dilaporkan membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London pada STG60 juta (RM330 juta) pada 16 Dis
2014.
- Bernama
