Paling Popular
Terkini

Badan Peguam Malaysia bertegas dengan pendirian mereka bahawa pelantikan semula Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bercanggah dengan perlembagaan.

"Badan Peguam mengekalkan kedudukan kami bahwa tiada kekaburan dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelantikan ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan sebagai hakim tambahan dan kemudian terus bertugas sebagai ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan adalah melanggar perlembagaan serta terbatal," kata presidennya, George Varughese, kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas kenyataan Md Raus - selepas menyambung semula khidmatnya sebagai ketua hakim negara pada Sabtu lalu - yang mengakui pelantikan seperti itu tidak pernah berlaku, namun ia masih mematuhi perlembagaan.

Menurut Md Raus, akan sentiasa ada permulaan bagi setiap sesuatu dan oleh itu akan ada banyak perbezaan pandangan.

Mengulas kenyataan itu Varughese (gambar) berpendapat ketua hakim negara berhak menganggap pelantikannya adalah mengikut perlembagaan.

"Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan mengapa begitu, ketika tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menjelaskan seseorang ketua hakim negara boleh memegang jawatan berkenaan selepas melepasi had usia bersara wajib," katanya.

Varughese juga menjelaskan Md Raus tidak memberi penjelasan mengapa beliau tidak bersetuju dengan pendirian Badan Peguam Malaysia yang dinyatakan melalui usul dan resolusi mereka.

Kenyataan Varughese itu merujuk kepada hasil mesyuarat agung luar biasa badan berkenaan pada 3 Ogos lalu yang memutuskan pelantikan semula Md Raus dan Zulkefli - masing-masing sebagai ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan - sebagai melanggar perlembagaan.

Pendirian itu dibuat kerana mereka diambil berkhidmat dalam institusi kehakiman apabila melepasi umur 66 tahun enam bulan - iaitu had bersara wajib yang ditetapkan perlembagaan.

Badan Peguam juga bercadang memfailkan cabaran undang-undang terhadap pelantikan itu tidak lama lagi.

Sementara itu mengenai sikap Md Raus yang tidak ada masalah jika dikecualikan daripada majlis sosial Badan Peguam, Varughese berkata, ia adalah hak prerogatif ketua hakim terbabit.

"Badan Peguam tak ada masalah dengan hal itu," katanya. 

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS