Rahim: Anwar telah memecah-belahkan Umno
Bekas Ketua Pemuda Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai agenda tersendiri yang telah memecah-belahkan Umno.
Dalam termuramah khas dengan
malaysiakini
, beliau berkata cita-cita Anwar yang besar menyebabkan Umno berpecah dan ini satu tragedi kepada parti itu.
Merujuk kepada dirinya yang menjadi mangsa politik bekas timbalan perdana menteri itu, Rahim berkata, beliau `dipecat' dari jawatan Ketua Pemuda Umno dan Ketua Menteri Melaka atas kemahuan Anwar.
"Saya didakwa oleh Anwar cuba membuat fitnah kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan media membicarakan saya meskipun mahkamah belum memutuskan saya bersalah atau sebaliknya.
"Selama 52 hari berturut-turut televisyen dan akhbar menyiarkan berita dan gambar saya di atas tuduhan salah laku seks," katanya sambil menambah keadaan itu menyebabkan beberapa pemimpin politik pembangkang termasuk Setiausaha Agung DAP sekarang, Lim Guan Eng dan pemimpin Keadilan, Ruslan Kassim turut mengambil kesempatan memburukkannya.
Rahim yang kini Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau memenangi kerusi Ketua Pemuda Umno dalam Kumpulan A yang disokong oleh Dr Mahathir dalam pertandingan tahun 1993.
Katanya, Kumpulan A yang dipelopori Anwar memenangi semua kerusi Naib Presiden memalui Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhamad Muhamad Taib.
Anwar menang kerusi timbalan presiden tanpa bertanding setelah penyandang, Tun Ghafar Baba menarik diri di saat akhir.
Terima Anwar, tragedi bagi Umno
Menurutnya, Anwar sebagai Timbalan Presiden Umno boleh memanggil beliau untuk mendengar sendiri penerangan daripadanya mengenai dakwaan memburuk-burukkan Anwar di depan Dr Mahathir.
Bagaimanapun, katanya, Anwar tidak berbuat demikian sebaliknya mendengar dan mempercayai dakwaan tersebut daripada pengikut-pengikutnya.
"Saya pula tidak diberi dan tidak mendapat peluang untuk memberi penerangan yang sebenar kepada Anwar mengenai dakwaan saya cuba meracun fikiran Dr Mahathir," katanya.
Rahim berkata, jika Umno menerima semula Anwar ia akan menimbulkan satu tragedi kepada parti itu. Ada kemungkinan akan berlaku perpecahan yang lebih besar lagi," katanya.
Rahim percaya bahawa Anwar masih menaruh cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya.