Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Program pembaharuan diteruskan walau tidak populis
Diterbitkan:  Aug 8, 2017 11:31 AM
Dikemaskini: 4:05 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar akan terus membangunkan negara ini selagi rakyat mahu beliau berbuat demikian.

"Saya tidak akan melarikan diri daripada tanggungjawab saya selagi rakyat mahukan saya terus menerajui negara, dan saya akan melakukan yang sedaya usaha," kata Najib semasa merasmikan Forum Ekonomi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Kuala Lumpur.

Beliau juga berikrar kerajaan akan meneruskan program-program pembaharuan yang telah diiktiraf pakar-pakar walaupun ia bukan bersifat populis demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negara ini.

"Saya beri jaminan bahawa kita adalah kerajaan yang adil dan berusaha memastikan negara ini menuju ke masa depan yang lebih baik.

"Kami tidak akan menjadi populis hanya untuk memenangi sokongan rakyat," katanya.

Langkah itu sekali gus, kata perdana menteri akan memastikan perjalanan Malaysia menuju negara berpendapatan tinggi dapat diteruskan.

Najib juga menempelak ahli-ahli politik pembangkang yang menyebarkan pembohongan dengan memberikan gambaran buruk berhubung tindakan kerajaan membawa masuk pelaburan dari China selain keputusan melaksakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Sedangkan mereka (pembangkang) tidak ada jawapan bagaimana mereka akan mencari hasil RM41 bilion daripada langkah GST yang diperoleh tahun lalu.

“Mereka menyebarkan dakyah demi kepentingan politik. Mereka langsung tidak ada niat kebaikan dalam hati mereka untuk negara dan rakyat,” katanya.

Pada ucapannya, perdana menteri juga melahirkan penghargaan kepada peranan yang dimainkan NCCIM dalam membangunkan ekonomi negara.

Katanya, kerajaan sentiasa menerima input dan pandangan gabungan dewan perniagaan ekonomi itu bagi memastikan dasar-dasar kerajaan kekal bersifat mesra perniagaan.

Justeru, beliau yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan segala cadangan mereka untuk dimasukkan sebagai elemen dalam peruntukan Bajet 2018.

“Saya berharap program Forum NCCIM 2017 seperti ini akan melahirkan natijah yang diharapkan. Saya tidak mungkin dapat berjumpa dengan semua orang. Kalau tuan-tuan tidak percaya, tengok sahajalah di luar pejabat saya di Parlimen memang jadi seperti ‘pasar ikan’.

“Setiap orang masuk bilik saya harapannya begitu tinggi sekali. Inilah yang menjadi saya khuatir sangat bahawa saya tidak mampu untuk memenuhi jangkaan setiap kali mereka melalui bilik saya untuk meluluskan apa sahaja yang dimahukan.

“Namun, inilah cabaran saya menggalas tugas sebagai Perdana Menteri, tetapi saya tidak akan mengabaikan tanggungjawab dan melaksanakan dengan baik untuk semua yang masib mahukan saya terus memimpin negara ini,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS