Nazri: Cukai pelancongan berkuat kuasa September

       

Kerajaan memutuskan bahawa cukai pelancongan akan berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Sept ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini.

Beliau berkata, pelancong warga tempatan dan pemastautin tetap dikecualikan daripada membayar cukai pelancongan itu.

Cukai itu, katanya, dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk setiap malam bagi pelancong asing yang menginap di premis penginapan termasuk hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan.

Bercakap pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, beliau menjelaskan cukai itu dikecualikan bagi premis penginapan 'homestay' atau 'kampung stay' yang berdaftar dengan kementerian, dan premis penginapan yang dikendali kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau badan berkanun bagi tujuan pendidikan, latihan atau kebajikan dan bukan bagi tujuan komersial.

"Pengecualian itu turut diberi kepada premis penginapan untuk kegiatan keagamaan yang didaftarkan di bawah undang-undang dan bukan untuk tujuan komersial serta premis penginapan yang mempunyai empat atau kurang daripada empat bilik," katanya.

Mohamed Nazri berkata sejumlah RM210 juta hasil pendapatan daripada pungutan cukai itu dijangka dikutip setiap tahun.
Bagi tujuan pelaksanaan cukai itu, pengendali premis penginapan berkenaan perlu berdaftar secara dalam talian di www.myttx.customs.gov.my bermula 4 petang hari ini.

Beliau sebelum itu melepaskan peserta ekspedisi Kelab Motosikal Shadowfax Malaysia yang akan menjelajah hampir 13,000 kilometer merentasi enam negara iaitu Malaysia, Thailand, Myanmar, Bhutan, Nepal dan India sempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara.

Mohamed Nazri disertai Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada pelepasan program yang turut dikenali sebagai 'Merdeka Ride' itu yang dianjurkan Pemuda MIC dan kelab motosikal berkenaan. Ia dijadual berlangsung sehingga 16 Sept.

"Pada 31 Ogos nanti, mereka akan meraikan sambutan kemerdekaan di kedutaan Malaysia di New Delhi dan Hari Malaysia (16 Sept) di Chennai, " kata Ketua Pemuda MIC Kebangsaan Datuk Sivarraajh Chandran kepada pemberita.

Majlis hari ini turut menyaksikan kelab motosikal itu menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Majlis Kanser Nasional (Makna).

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda