Saya dihalang dalam Umno, kata Rahim
Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa, ada pihak-pihak tertentu dalam Umno yang cuba menghalang beliau daripada kembali menerajui kepimpinan parti itu.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa, ada pihak-pihak tertentu dalam Umno yang cuba menghalang beliau daripada kembali menerajui kepimpinan parti itu.
Beliau berkata, mereka telah melakukan usaha-usaha tertentu untuk melihatnya supaya tidak mendapat tempat lagi dalam kepimpinan parti itu.
Mengenai dakwaan beliau cuba menjatuhkan seorang pemimpin Umno daripada sebuah bahagian di Melaka, Rahim berkata, beliau tidak melakukannya dan tidak akan melakukannya.
"Saya tidak pernah membuat aduan terhadap sesiapapun. Siapa yang disiasat dan dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin Umno adalah perbuatan sendiri dan tidak boleh salahkan orang lain," katanya.
Bagaimanapun, katanya, masih ramai yang menerimanya dan memberikan sokongan besar di seluruh negara supaya kembali aktif di dalam parti.
"Sokongan ini dibuktikan oleh mereka dengan memberikan saya kemenangan menduduki tangga ke 14 dalam pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) tahun lalu.
"Memang saya bertanding di atas kemahuan sendiri tetapi sokongan yang diberikan oleh kawan-kawan dan ahli Umno membuktikan saya masih diterima oleh ahli Umno," katanya dalam temubual khas dengan beliau di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kalah lawan Amid
Begitupun, Rahim gagal dalam percubaan untuk menerajui Umno Bahagian Kota Melaka apabila kalah kali ketiga kepada Datuk Amid Nordin, seorang bekas Exco kerajaan negeri.
Amid bagaimanapun, terpaksa melepaskan jawatan tersebut baru-baru ini apabila beliau didapati bersalah dalam politik wang dalam pemilihan parti pada tahun lalu oleh Lembaga Disiplin Umno.
Rahim berkata, sekarang ini sokongan di peringkat akar umbi yang diterimanya sangat tinggi walaupun beliau tidak memegang apa-apa jawatan di peringkat bahagian dan negeri.
Menurutnya, beliau tidak mempunyai cita-cita besar dalam politik dan hanya membantu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mentadbir negara.
"Saya kini dalam lingkungan 50-an, bukan lagi muda dan terpulanglah kepada perdana menteri. Jika perdana menteri mahu saya kembali menyertai kabinet, saya terpaksa ikut," katanya.
Katanya, komitmen Abdullah memperkenalkan Islam Hadhari dan usaha penghapusan rasuah dan birokrasi sangat baik dan memberi faedah kepada rakyat.
Beliau berkata, rakyat perlu menyokong usaha perdana menteri untuk menghapuskan rasuah dan memajukan negara.

