Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 telah 62 peratus siap dan mengikut sasaran ditetapkan untuk disiapkan pada Disember 2019, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Beliau berkata projek pembinaan LRA itu dilaksanakan mengikut perancangan merangkumi 19 pakej membabitkan kawasan Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang serta kawasan Keramat AU3 di Selangor.
“LRA Langat 2 dibina berikutan permintaan tinggi, peningkatan penduduk serta pertumbuhan pesat yang berlaku di Lembah Klang, selain itu permintaan bekalan air dijangka meningkat sebanyak tiga peratus setiap tahun dan kapasiti bekalan air terawat perlu ditingkatkan bagi mengelak masalah krisis bekalan air menjelang tahun 2020,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan LRA Langat 2 dekat sini, hari ini.
Maximus berkata pembinaan LRA Langat 2 itu perlu dilaksanakan kerana berdasarkan statistik pada 2014, penduduk di Selangor memerlukan 4,907 juta liter air setiap hari.
Bagaimanapun, pengeluaran air berjumlah 4,431 juta liter sehari menerusi 34 LRA yang sedia ada.
Justeru, apabila LRA Langat 2 siap kelak ia akan berupaya membekalkan air yang mencukupi kepada penduduk di Lembah Klang setiap hari sehingga tahun 2025.
Dengan itu, krisis bekalan air seperti pada masa lalu tidak akan berulang, katanya.
-Bernama
