Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PARLIMEN Rang Undang-Undang Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (LRA) telah diluluskan Dewan Rakyat.

RUU tersebut diluluskan dengan undian suara pada jam 12.45 pagi. Dewan menghentikan jam kerana prosiding telah melepasi tengah malam.

RUU yang diluluskan itu bagaimanapun telah memadamkan peruntukan yang menghalang pertukaran agama anak secara sepihak oleh ibu bapanya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said berkata Seksyen 88A yang dikeluarkan pada hari Selasa lalu itu tidak akan menyelesaikan masalah pertukaran agama daripada satu pihak ibu bapa sahaja.

Para penggubal undang-undang DAP berhujah seksyen itu perlu dimasukkan dalam RUU akta kahwin (LRA) tersebut.

Namun demikian MP PAS pula mahu RUU tersebut ditarik keluar secara keseluruhannya bagi menyelesaikan isu pertukaran agama anak oleh satu pihak ibu bapa.

Berikut adalah peruntukan Seksyen 88A yang ditarik keluar itu:

"(1) Jika suatu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam, agama mana-mana anak dari perkahwinan itu hendaklah kekal sebagai agama pihak-pihak kepada perkahwinan itu sebelum penukaran agama itu, kecuali jika kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu bersetuju akan penukaran agama anak itu kepada Islam, tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan belas tahun.

(2) Jika pihak-pihak kepada perkahwinan menganut agama berbeza sebelum satu pasangan masuk Islam, seseorang anak dari perkahwinan itu hendaklah bebas untuk kekal dalam agama salah satu daripada agama pihak yang tersebut sebelum masuk Islam.” [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Azalina dalam penggulungan perbahasan mengenainya, berkata pindaan itu bertujuan memberi ruang kepada pasangan yang berkahwin dan telah memeluk agama Islam atau salah seorang dari pasangan itu yang masih berada dalam agama Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil.

Katanya, ia bagi mengelak tindakan oleh sama ada suami atau isteri yang tidak mahu menamatkan sesuatu perkahwinan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab terhadap pasangannya, anak-anak atau harta mereka.

"Maknanya dia ada pilihan, seseorang yang masuk Islam memang terikat dengan undang-undang keluarga Islam, itu hak dia, tetapi ini soal bagi keluarga yang ditinggalkan olehnya, tak kan hendak dibiarkan terkapai-kapai.

"Saya belum kahwin pun saya marah, tiba-tiba lari, tidak mahu bayar nafkah, menggunakan Islam sedangkan Islam itu agama yang bertanggungjawab.

"Tak kan dia masuk Islam kemudian lari dari tanggungjawab menjaga pasangannya dan anak-anaknya, itu mana boleh," katanya.

Tegas Azalina, pindaan itu tidak menafikan hak seseorang itu di Mahkamah Syariah sebaliknya menggalakkan seseorang itu supaya bersikap lebih bertanggungjawab untuk menceraikan pasangannya di Mahkamah Sivil.

Sebelum ini, Azalina dalam satu kenyataan menjelaskan pindaan itu juga dibuat bagi memastikan tiada mana-mana pihak mencabar kesahan undang-undang itu di bawah Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan serius dalam membuat pindaan terhadap undang-undang ini demi menjaga keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini, di samping memastikan tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah anak-anak sehingga ke peringkat pendidikan tertinggi adalah terpelihara dan terjamin," katanya.
 

 

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS