Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Kelantan nafi tidak bayar ‘gaji’ wakil PKR
Diterbitkan:  Aug 10, 2017 11:51 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

PAS menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri Kelantan tidak menjelaskan tunggakan bayaran yang diperuntukkan kepada pegawai lantikan politik melibatkan sebanyak 75 wakil PKR.

Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, dakwaan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail bahawa kerajaan negeri tidak menjelaskan tunggakan bayaran Wan Azizah itu tidak munasabah.

“Perkara ini (lantikan politik PKR di Kelantan masih menunggu bayaran tertunggak) tidak munasabah. Kita ada peruntukan melalui rancangan kecil pembangunan untuk setiap DUN.

“Lantikan politik ini hanya mendapat bayaran elaun bulanan dan ia tidak tertunggak apa-apa pun. Jadi tidak berbangkit perkara-perkara lain,” katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia.

Che Abdullah, juga dipetik sebagai berkata, kerajaan PAS Kelantan telah memperuntukkan RM200,000 setahun bagi setiap DUN manakala elaun lantikan politik PKR di negeri ini juga dijelaskan tanpa sebarang tunggakan.

Malah katanya, kerajaan negeri juga memberi bantuan untuk rakyat tanpa menggunakan peruntukan daripada mana-mana penyelia DUN.

Biro Politik PKR pada 16 Mei lalu mengeluarkan arahan supaya semua penjawat lantikan politik di Kelantan meletakkan jawatan ekoran berakhirnya kerjasama politik (tahhauf siyasi) antara parti itu dengan PAS.

Bagaimanapun, Wan Azizah memberi kelonggaran supaya semua mereka berbuat demikian menjelang akhir Julai, namun selepas tempoh berkenaan berakhir, didapati masih belum ada mana-mana wakil parti PKR menyerahkan surat peletakan jawatan mereka.

Selasa lalu, Wan Azizah tampil menjelaskan anggota PKR yang mendapat jawatan melalui lantikan politik di Kelantan masih menunggu tunggakan bayaran yang sepatutnya dijelaskan kerajaan negeri.

Katanya, sebelum ini semua penjawat lantikan politik itu menggunakan wang sendiri bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir pula dilaporkan berkata, mereka bukan ingkar arahan pucuk pimpinan parti tetapi memerlukan masa menyelesaikan beberapa masalah berbangkit terlebih dahulu sebelum meletakkan jawatan.

Bagaimanapun untuk rekod, wakil rakyat PAS masih kekal di dalam kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali di sebalik berakhirnya kerjasama rasmi dengan PKR.

 

Lihat Komen
ADS