Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Apa istimewanya Riza, Khairy berbanding anak Mahathir?'

PARLIMEN | Anggota Parlimen Kuala Terengganu mempersoalkan mengapa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak menyiasat anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terkenal di luar negara, serta menantu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Riza Aziz boleh dianggap begitu muda untuk memiliki kekayaan seperti yang dimilikinya ketika ini berbanding ahli perniagaan lain yang lebih veteran.

Katanya, begitu juga dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang terlepas daripada siasatan LHDN ketika agensi berkenaan menyerbu syarikat milik anak lelaki Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Adakah kerana Khairy adalah anggota kabinet dan Riza anggota keluarga Najib maka mereka memiliki kekebalan tertentu di mata pihak berkuasa?

“Kenapa memilih bulu dan menyasarkan hanya keluarga yang sudah tidak lagi berkuasa?” soal Raja Bahrin dalam sidang media di parlimen hari ini.

Anggota parlimen mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH) itu mengulas tindakan LHDN menyiasat sebuah syarikat Datuk Mokhzani Mahathir.

Mokhzani pernah tersenarai sebagai antara tokoh paling kaya di negara ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan serbuan itu dilakukan pihak berkuasa kelmarin.

Bagaimanapun, tidak ada maklumat mengenai tempat kejadian atau firma yang terlibat.

Serbuan itu berlaku selepas beberapa pemimpin Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pihak berkuasa menyiasat kekayaan keluarga bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir mendakwa sejak tahun lalu rakan-rakan dan keluarganya menjadi sasaran LHDN.

Pernah menjadi presiden Umno selama 22 tahun, Dr Mahathir kini menjadi antara pemuka yang paling lantang mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Gajah di depan mata

Beliau juga menjadi pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kata Raja Bahrin selain LHDN, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tentu mengetahui segala kerja harian keluarga Najib dan Abdullah, termasuk nilai harta yang dimiliki mereka berbanding Dr Mahathir yang tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

Beliau juga mempersoalkan tindakan LHDN itu kerana dilakukan setelah Ahmad Zahid dan menteri lain membuat gesaan mengenainya.

“Adakah ini cuma kebetulan atau LHDN dan SPRM menerima tekanan daripada Umno seperti disangka orang ramai (iaitu) menerima arahan dengan sahutan: saya yang menurut perintah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan LHDN dan SPRM seperti gagal melihat "gajah besar” di depan mata ketika badan antarabangsa termasuk Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat melihat kesalahan tersebut.

“Bagaimana ia tidak kelihatan oleh kita sendiri adalah disebabkan keruntuhan nilai dan moral yang amat kronik.

“Selagi kita gagal membuka mata hati kita terhadap kerosakan moral dan rompakan kewangan oleh gajah di depan mata kita, selama itulah kita akan terus kekal menjadi juara kleptokrasi dunia tanpa tandingan,” katanya.

Lihat Komen
ADS