Paling Popular
Terkini

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa beliau tidak mempunyai maklumat mengenai isu peletakan jawatan lantikan politik PKR di Kelantan.

Azmin berkata oleh sebab itu beliau akan cuba mendapatkan maklum balas daripada pimpinan di negeri itu sebelum boleh memberi kenyataan lanjut.

Beliau yang juga menteri besar Selangor berkata, maklum balas daripada pemimpin PKR Kelantan akan didapatkan dalam waktu terdekat.

“Selepas itu kami akan berikan nasihat sewajarnya untuk kepentingan semua pihak,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Terdahulu Azmin diminta mengulas kenyataan Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, yang menafikan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bahawa kerajaan negeri tidak menjelaskan tunggakan bayaran kepada 75 pemegang jawatan lantikan politik di negeri itu.

Che Abdullah turut berkata, kerajaan PAS Kelantan telah memperuntukkan RM200,000 setahun kepada setiap penyelaras dewan undangan negeri (DUN), manakala elaun lantikan politik PKR di negeri ini juga dijelaskan tanpa sebarang tunggakan.

Jawatan penyelaras biasanya diwujudkan di kawasan dikuasan pihak parti lawan.

Menurut Che Abdullah, kerajaan negeri juga memberi bantuan untuk rakyat tanpa menggunakan peruntukan daripada mana-mana penyelia DUN.

Azmin, Zuraidah dapat jawatan

Biro Politik PKR pada 16 Mei lalu mengeluarkan arahan supaya semua penjawat lantikan politik di Kelantan meletakkan jawatan ekoran berakhirnya kerjasama politik (tahalauf siyasi) antara parti itu dengan PAS.

Bagaimanapun, Wan Azizah memberi kelonggaran supaya semua mereka berbuat demikian menjelang akhir Julai, namun selepas tempoh berkenaan berakhir, didapati masih belum ada mana-mana wakil parti PKR menyerahkan surat peletakan jawatan mereka.

Selasa lalu, Wan Azizah tampil menjelaskan anggota PKR yang mendapat jawatan melalui lantikan politik di Kelantan masih menunggu tunggakan bayaran yang sepatutnya dijelaskan kerajaan negeri.

Katanya, sebelum ini semua penjawat lantikan politik itu menggunakan wang sendiri bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir pula dilaporkan berkata, mereka bukan ingkar arahan pucuk pimpinan parti tetapi memerlukan masa menyelesaikan beberapa masalah berbangkit terlebih dahulu sebelum meletakkan jawatan.

Bagaimanapun untuk rekod, wakil rakyat PAS masih kekal di dalam kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali di sebalik berakhirnya kerjasama rasmi dengan PKR.

Sementara itu dalam kenyataan media hari ini, Pakatan Harapan (HARAPAN) mengumumkan tiga lantikan baru untuk gabungan berkenaan menjelang pilihan raya umum (PRU) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Menurut Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk jawatan pengarah pilihan raya majlis presiden gabungan berkenaan bersetuju menyerahkannya kepada Datuk Seri Azmin Ali.

Azmin ialah timbalan presiden PKR dan menteri besar Selangor.

"Pelantikan Azmin dibuat bagi memperkukuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya HARAPAN yang kini dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Sementara itu Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi HARAPAN.

Anggota Parlimen Ampang merangkap Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pula kata Dr Mahathir dipilih sebagai Ketua Wanita HARAPAN.

Lihat Komen
ADS