Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 individu sekali lagi ke SPRM beri keterangan berkaitan FIC
Diterbitkan:  Aug 11, 2017 6:21 AM
Dikemaskini: 11:06 PM

Pengarah Felda Investment Corporation (FIC) dan dua bekas ahli lembaga pengarah syarikat itu sekali lagi hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh FIC di Kensington, London.

Ketiga-ketiga individu itu sebelum ini sudah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut pada Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi semalam berkata ketiga-tiganya individu itu dipanggil semula bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.

"Selepas meneliti keterangan yang diberi mereka sebelum ini, perlunya mereka dipanggil semula untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Ketiga-tiga individu itu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya secara berasingan sekitar 11 pagi dan selesai dirakam percakapan oleh pegawai penyiasat pada kira-kira 6.30 petang semalam.

Simi berkata kesemua yang dipanggil memberi keterangan berhubung kes berkenaan akan dipanggil semula jika terdapat keperluan.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh FIC selepas dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membayar STG60 juta (RM330 juta) untuk sebuah hotel empat bintang di Kensington, London pada 16 Disember 2014.

Sejak siasatan dibuka, SPRM sudah memanggil 29 individu sebagai saksi bagi membantu siasatan.

Seramai lima individu turut ditahan termasuk seorang bekas ketua pegawai eksekutif FIC.

6 ditahan di Johor

Sementara itu, di Johor Bahru, SPRM Johor menahan enam individu termasuk seorang kakitangan institusi kewangan selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM50,000 sebagai balasan menguruskan pinjaman peribadi seorang guru lelaki.

Menurut sumber, empat daripada mereka iaitu tiga lelaki dan seorang wanita, ditahan tiga hari lepas di Rompin, Pahang dan Permas Jaya di Johor Bahru, kerana dipercayai terlibat dengan permintaan wang rasuah tersebut.

Mereka kini direman tujuh hari sehingga 15 Ogos ini, kata sumber itu.

Sumber itu berkata dua lagi iaitu kedua-duanya wanita, ditahan kelmarin di sebuah rumah di Permas Jaya di Johor Bahru dengan seorang daripada mereka bertugas sebagai penasihat kewangan di sebuah institusi kewangan di Skudai.

Kedua-dua mereka dibenarkan direman selama lima hari bermula semalam.

Berdasarkan siasatan awal pasukan siasatan dengan kerjasama pasukan daripada unit integriti institusi kewangan tersebut, kesemua suspek berumur 29 hingga 33 tahun berkenaan dipercayai terlibat meminta wang rasuah sebagai balasan menguruskan pinjaman peribadi yang melibatkan jumlah RM190,000.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan percaya kes berkenaan dilakukan secara berkumpulan.

Azmi turut menyeru individu yang pernah mengalami situasi seumpama agar tampil memberi maklumat kepada SPRM.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS