Mimbar: Pentingnya menjaga nasab

   

Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menegaskan, isu nasab berkaitan anak tak sah taraf amat dititikberatkan dalam Islam dan ia tidak boleh dipandang remeh.

Mimbar menegaskan, memelihara keturunan merupakan salah satu matlamat ajaran Islam atau maqasid syariah.

Teks khutbah turut menyebut, menurut Islam anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan ibu anak itu mengandung.

Sekiranya anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapa biologi maka ia akan mengundang masalah yang lebih besar, antaranya perkahwinan anak tak sah taraf yang berwalikan bapa biologi tidak sah.

"Perkara itu akan membawa kesan berlakunya kerosakan dalam sistem keluarga kerana melakukan zina berterusan akibat akad nikah yang tidak sah.

"Oleh itu mimbar menasihatkan umat Islam agar tidak memandang serong terhadap anak-anak tidak sah taraf yang tidak mewarisi dosa ibu bapanya.

"Justeru umat Islam digesa agar tidak mengetepikan hukum syarak semata-mata berdasarkan stigma dan kesan psikologi terhadap anak tak sah taraf," kata teks khutbah yang bertajuk 'Memelihara nasab'.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan kecelaruan dalam keturunan Islam, Jawatankuasa Fatwa Selangor memfatwakan beberapa keadaan yang boleh mengesahkan status anak tidak sah taraf iaitu:

  • Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau saintifik yang bertentangan dengan hukum syarak.
  • Anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu imkan al-dukhul dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.
  • Anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari segi waktu imkan al-dukhul selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui pengakuan suami isteri tersebut atau salah seorang, atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda