Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JAWI pantau kegiatan 'ateis Islam'
Diterbitkan:  Aug 11, 2017 4:49 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Kegiatan golongan 'ateis Islam' sedang dalam pemantauan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). Hal ini susulan laporan media baru-baru ini berhubung perhimpunan golongan ateis di Kuala Lumpur.

Pengarah JAWI Haji Abdul Aziz Jusoh berkata pihaknya bukan sahaja memantau kumpulan ateis malah semua kumpulan yang mempunyai kecenderungan melanggar undang-undnag sah yang sedia ada.

"JAWI akan terus menyiasat perkara ini selain mengharap aduan awam bagi mengekang kegiatan ini daripada berleluasa.

"Justeru, pendekatan bagi memahami punca, merawat serta menyediakan solusi kepada masalah ini akan diberi fokus utama dalam menanganinya," kata Abdul Aziz dalam kenyataan media hari ini.

Ateis merujuk kepada orang yang tidak mempercayai tuhan dan tidak mempunyai pegangan agama.

Menurut Abdul Aziz pihak JAWI sentiasa membuka ruang kepada semua pihak yang ingin mendapatkan maklumat berhubung agama Islam untuk hadir dan berdiskusi.

"Sekiranya didapati ada orang Islam di Wilayah Persekutuan yang terlibat, maka mereka akan dipanggil dan dinasihat agar mereka tahu dan sedar bahawa tindakan mereka menyertai kelab tersebut boleh menjejaskan akidah.

"Pada dasarnya, mana-mana ajaran samada ateis dan sebagainya yang bercanggah dengan akidah ahli sunnah wal jamaah adalah tertolak dan tidak diterima dalam Islam," tegas kenyataan itu lagi.

'Ateis bercanggah akidah Islam'

Abdul Aziz berkata di Wilayah Persekutuan, penyebaran ajaran ateis boleh diambil tindakan di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

"Pada dasarnya, mana-mana ajaran samada ateis dan sebagainya yang bercanggah dengan akidah ahli sunnah wal jamaah adalah tertolak dan tidak diterima dalam Islam.

"Malahan ia juga bercanggah dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan," katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa pihak jabatan agama supaya memburu mereka yang beragama Islam yang terlibat dengan Kelab Ateis Republic Kuala Lumpur yang tular di laman media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya turut menyiasat perkara itu.

Katanya lagi, siasatan terperinci akan dilakukan termasuk penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Lihat Komen
ADS