Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'SPRM perlu mulakan pendakwaan jenayah terhadap Razak Baginda'
Diterbitkan:  Aug 11, 2017 5:30 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

NGO anti-rasuah Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) melahirkan kekecewaan atas kebisuan kerajaan Malaysia berhubung dakwaan penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang telah didakwa (indicted) di Paris atas
dakwaan rasuah sogokan berhubung penjualan kapal selam kepada Malaysia.

Abdul Razak didakwa di bawah mahkamah perancis pada 18 Julai lalu atas dakwaan 'rasuah aktif dan pasif' berkait pembelian dua buah kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.

Abdul Razak yang berpengkalan di Kuala Lumpur merupakan rakan rapat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak. C4 mendakwa Abdul Razak menasihati perdana menteri dalam hal-hal pertahanan.

Dalam suatu kenyataan bersama, pengarah C4 Cynthia Gabriel dan peguam Fadiah Nadwa menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk segera memulakan pendakwaan jenayah terhadap Abdul Razak.

Cynthia memetik Seksyen 66 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukan liabiliti terhadap kesalahan yang dilakukan di luar Malaysia.

"Akta tersebut memberi kuasa kepada SPRM untuk memulakan pendakwaan jenayah terhadap warga negara dan penduduk tetap Malaysia apabila kesalahan di bawah akta tersebut dilakukan di luar Malaysia.

"Ia merupakan suatu pembaziran dan tiada keperluan bagi SPRM untuk menghantar para penyiasat ke Perancis bagi mendapatkan maklumat berkenaan status kes itu sedangkan jelas sekali SPRM berkuasa untuk memulakan siasatan pendakwaan jenayah terhadap Razak di Malaysia," tambahnya lagi.

Apabila berita berhubung pendakwaan Abdul Razak tersebar, pengarah SPRM Dzulkifli Ahmad berkata beliau telah mengarahkan para pegawainya untuk mendapatkan maklumat tepat dari kedutaan Perancis sama ada ia merupakan kes siasatan atau pendakwaan.

Bagaimanapun Cythia menyatakan Malaysia perlu menawarkan kerjasama penuh di bawah Konvensyen Anti-Korupsi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Peguam Fadiah Nadwa berkata perkembangan terkini di Perancis menuntut pertanggungjawaban untuk "jenayah serius rasuah ini."

"SPRM mesti bertindak sekarang, dengan berani, tanpa memilih bulu," kata Fadiah.

Malaysia membeli dua buah kapal selam Scorpene daripada syarikat Perancis DCNS dengan harga sekitar satu bilion euro dalam urusniaga yang berkaitan dengan pembinaan dermaga kapal pada Jun 2002. Urusniaga itu didakwa berada di bawah bidang kuasa Najib.

Najib pada ketika itu memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

Pihak berkuasa Perancis sedang menyiasat dakwaan pembayaran sogokan kepada pegawai Malaysia. Semenjak tahun 2000, bayaran komisyen diharamkan di Perancis.

Empat orang warga Perancis dan Abdul Razak dilaporkan sedang disiasat.

Lihat Komen
ADS