Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ganti pemanas air elektrik berusia lebih 10 tahun
Diterbitkan:  Aug 11, 2017 5:38 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini menasihati pengguna menggantikan alat pemanas air elektrik model lama, terutamanya yang berusia lebih 10 tahun, kerana ia tidak menepati spesifikasi keselamatan terkini.

Pengarah Kawal Selia Keselamatan Elektrik ST Mohd Elmi Anas berkata perkara ini perlu diberi perhatian bagi mengelakkan insiden tidak diingini termasuk renjatan elektrik dan juga letupan akibat pemanas air yang tidak selamat.

“Pemanas air elektrik model baharu jenis storan kini dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini termasuklah termostat dan ‘thermal-cutout’ yang dibina dalam pemanas air sejak tahun 2000, selain komponen ‘isolation barrier’ pada ‘inlet’ dan ‘outlet’ pemanas yang diwajibkan bermula April lepas.

“Pemanas air jenis segera pula mempunyai peranti arus baki (RCD) 15 miliampere (mA) dan hos yang diperbuat daripada bahan plastik bukan lagi besi,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di Putrajaya.

Beliau berkata 10 tahun lalu, kebanyakan pemanas air segera di Malaysia dibekalkan bersama hos konduktif iaitu keluli tahan karat yang kini telah diharamkan kerana boleh mengalirkan elektrik kepada mangsa jika terdapat kebocoran arus.

Katanya ada dua insiden membabitkan letupan iaitu pada Disember 2014 di sebuah resort di Kundasang, Sabah dan di sebuah unit kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Februari lalu akibat kerosakan atau kegagalan sistem keselamatan pada pemanas air jenis storan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian, tetapi bangunan mengalami kerosakan teruk… kes di Mont Kiara misalnya, pemanas elektrik itu telah digunakan selama 23 tahun dan tidak mempunyai ciri keselamatan yang memenuhi keperluan antarabangsa terkini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan agar kerja-kerja pemasangan dan pendawaian elektrik dilaksanakan oleh pendawai kompeten yang memegang perakuan yang dikeluarkan oleh ST selain tidak membaiki pemanas air sendiri.

“Jika sudah menggunakan pemanas air yang mempunyai ciri keselamatan terkini, pastikan sentiasa melakukan servis berkala dan gunakan alat ganti tulen sahaja,” katanya.

Pengguna boleh mengenal pasti sama ada pemanas air telah mendapat kelulusan ST ataupun tidak melalui label keselamatan iaitu pelekat SIRIM-ST yang ditampal atau embos pada badan pemanas air.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS