Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jumlah mangsa banjir di Melaka menurun sedikit
Diterbitkan:  Aug 12, 2017 11:20 AM
Dikemaskini: 3:22 AM

Jumlah mangsa banjir di Melaka menurun sedikit kepada 512 setakat pagi ini berbanding 534 mangsa malam tadi berikutan 22 mangsa daripada enam keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata secara keseluruhan sejumlah 512 mangsa daripada 129 keluarga masih di tempatkan di sembilan pusat pemindahan banjir yang mana tujuh daripadanya di daerah Melaka Tengah dan selebihnya di daerah Jasin dan Alor Gajah.

Beliau berkata jumlah mangsa di empat pusat pemindahan mengalami penurunan iaitu seramai 246 mangsa dengan 58 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdullah, Projek Perumahan Rakyat Krubong (71 mangsa, 18 keluarga), Sekolah Agama JAIM Tanjung Minyak (20 mangsa, 7 keluarga) dan Balai Raya Pengkalan Batu (27 mangsa dengan enam keluarga).

"Manakala dua pusat pemindahan yang mengalami peningkatan, Sekolah Kebangsaan Tehel di Jasin melibatkan 71 mangsa daripada 19 keluarga dan Balai Raya Kampung Seri Jeram, Alor Gajah yang menempatkan 17 mangsa daripada empat keluarga.

"Selain itu, jumlah mangsa di tiga pusat pemindahan lain tidak berubah iaitu 20 mangsa dengan empat keluarga di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Paya Ikan, Surau Bukit Baru (13 mangsa, dua keluarga) dan di Balai Raya Peringgit (27 mangsa, 11 keluarga)," katanya dalam kenyataan di sini.

Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, berkata kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat sejak pagi semalam.

"Beberapa sungai di kawasan tersebut melimpah akibat hujan lebat pagi semalam dan lebih ramai mangsa dijangka dibenarkan pulang sekiranya cuaca cerah berterusan hari ini," katanya.

Selain APM, pelbagai agensi kerajaan turut memberi bantuan kepada mangsa banjir termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS