Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 450 nelayan kerugian akibat tumpahan minyak
Diterbitkan:  Aug 12, 2017 1:34 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Lebih 450 nelayan termasuk 250 yang berdaftar dari empat kawasan perkampungan nelayan sekitar perairan Sungai Johor mengalami kerugian berikutan kejadian tumpahan minyak sebuah kapal yang berlabuh berhampiran jambatan Desaru-Senai dekat Kota Tinggi dua hari lepas.

Ketua Komuniti Nelayan Teluk Sengat Ibrahim Ahmad berkata perkampungan nelayan yang terjejas itu adalah Kampung Johor Lama, Kampung Teluk Sengat, Kampung Tanjung Buai dan Kampung Sungai.

"Selain kami, turut terjejas adalah nelayan ternakan rumah rakit di sini," katanya yang ditemui di Kota Tinggi hari ini.

Beliau berkata kejadian minyak tumpah disedarinya kira-kira jam 2 petang Khamis lalu ketika turun ke laut menangkap ikan.

"Tumpahan minyak ini menyebabkan hasil tangkapan kami berkurangan. Bukan hanya mata pencarian kami nelayan tetapi kehidupan alam sekitar di Kota Tinggi.

"Jadi kita berharap pihak berkenaan mampu menangani masalah ini selain memberikan bantuan kepada kami yang terjejas," kata Ibrahim yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Sengat.

Tinjauan di kawasan itu semalam mendapati kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan, cuma masih terdapat banyak kesan minyak hitam di permukaan laut yang dilihat boleh menjejaskan peralatan menangkap ikan.

Selain itu, beliau turut meminta pihak berkuasa supaya memantau kapal yang berlabuh di situ yang didakwa sering membuang sampah sarap termasuk tong minyak dan barang lusuh di perairan tersebut.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS