Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan negeri itu akan menjadi negeri maju dengan terus mengekalkan nilai-nilai Islam tanpa terperangkap dengan agenda liberal dibawa DAP.

"Kita tidak mahu jadi Pulau Pinang kedua dan Johor bukan Pulau Pinang kedua yang kehidupannya dihambat dengan pemikiran liberal yang menghilangkan identiti bangsa dan agama.

"Jadi, kita tidak akan pelik mengapa sejak akhir-akhir ini, DAP dan konco-konconya semakin rancak menyerang kita.

"Kerana mereka melihat Johor sebagai sebuah negeri yang cuba mengelak daripada menerima tempias pemikiran dan agenda mereka," katanya ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh, di Pagoh, hari ini.

Menteri besar Johor itu berkata, DAP lupa dan menganggap orang Melayu tidak berfikir serta pendek akal.

"DAP dan konco-konconya ingat orang Melayu boleh diperdayakan dengan ajakan untuk menyokong dasar yang melawan arus tersebut.

"Dasar baru yang kononnya dan perlu kerana negara kita sudah rosak, sudah muflis, sudah tidak berfungsi lagi," katanya disusuli tepukan kira-kira 600 perwakilan dari 106 cawangan Umno Pagoh yang hadir.

Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Pagoh itu dirasmikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan pemangku Ketua Umno bahagian Pagoh, ‎Ismail Mohamed.

'Johor moden tetapi Islami'

Mohamed Khaled yang juga menteri besar Johor berkata, DAP menganggap satu-satunya jalan keluar adalah dengan menukar kerajaan dengan mengubah kuasa politik orang Melayu.

"Pada mereka orang Melayu gagal mentadbir negara ini dengan baik. Orang Islam tidak mempunyai kemodenan pemikiran dan keupayaan menguruskan ekonomi. Hanya mereka yang tahu apa yang betul. Hanya mereka yang boleh selamatkan Malaysia," katanya.

Tambah beliau, Johor kini menuju kepada sebuah negeri dengan masyarakat seimbang iaitu maju dengan kemodenan tetapi masih mengekalkan ciri Islam.

"Johor kini sedang mencipta hala tuju tersendiri yang mahu menjadi masyarakat seimbang. Yang moden tetapi Islami. Johor yang maju tetapi berbudaya.‎ Yang baik ekonominya, tetapi sejahtera kualiti hidupnya," tegas Mohamed Khaled.

 

Lihat Komen
ADS