Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gangguan mat rempit di tengah malam beri idea pada Rosmah
Diterbitkan:  Aug 12, 2017 7:02 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Antara kejayaan Program Permata Negara adalah berjaya mengubah golongan mat rempit di negara ini menerusi program Kem Perkasa Permata, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Rosmah, beliau mula mendapat idea untuk membantu golongan itu selepas dirinya dan Datuk Seri Najib Razak tidak dapat tidur malam kerana mendengar bunyi enjin motosikal.

“Datuk Seri Najib mengamuk, dia kata bising dia tak boleh tidur, jadi daripada situ saya mengambil berat tentang perkara itu,” katanya pada Program Hari Belia Perkasa Permata di Kompleks Komuniti Muhibbah Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, setelah berbincang dengan UKM, pihak polis bersetuju untuk mengadakan kursus bagi mat rempit.

“Saya cakap nak dapatkan peserta, jangan paksa. Biar mereka datang secara sukarela. Daripada 30,000 (mat rempit) kita dapat 33 peserta, saya kata biarlah sikit kita mulakan juga,” katanya seperti dilapor FMT.

Katanya, hasil daripada program tersebut ia berjaya mendidik golongan itu kembali ke pangkal jalan selepas menjalani program pemulihan selama dua bulan.

“Kita berjaya pusingkan fikiran mereka supaya menjadi orang yang berguna. Ada masa depan, malah ada peserta kata dulu masa menjadi mat rempit selalu balik rumah kena marah, digelar kutu jalan.

“Sekarang mereka dah sedar, ada kata nak buka perniagaan, buka bengkel motosikal, malah ada juga yang kata mereka nak jadi polis supaya boleh tangkap kawan-kawan mereka yang masih merempit,” katanya.

Ibu mat rempit menangis gembira

Rosmah turut menceritakan seorang ibu menangis dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana program itu menyebabkan anaknya kembali ke pangkal jalan dan tidak lagi terjebak dengan aktiviti sosial.

“Itu satu kepuasan bagi saya melalui program ini. Harapan saya, selain membantu remaja, mahu juga bercadang mendapatkan tempat untuk golongan ibu belajar agama,” katanya dengan penuh bangga.

Mengulas lanjut, Rosmah berkata, Kem Perkasa Permata bukan sahaja memberi fokus kepada golongan mat rempit, malah turut menyediakan peluang kemahiran lain seperti masakan, kecantikan, pendidikan dan fotografi.

“Harapan saya ingin melihat remaja mempunyai hala tuju dalam kehidupan mereka, saya ingin melihat mereka jadi orang berguna bukan sahaja pada keluarga tapi negara,” katanya.

Lihat Komen
ADS