Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jabatan Imigresen kesan 50 kes penipuan E-Kad

Jabatan Imigresen Malaysia mengesan sekurang-kurangnya 50 E-Kad yang dikeluarkan sebagai permit pengambilan pekerja secara sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dipalsukan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata berikutan itu, pihaknya kini melakukan siasatan bagi mengenal pasti dalang kegiatan berkenaan.

“Ada pihak cuba mengaut keuntungan cara mudah dengan mengeluarkan E-Kad palsu dengan mengenakan bayaran antara RM1,000 dan RM4,000.

“Kita akan melakukan siasatan terperinci berhubung kes ini kerana ia membabitkan pemerdagangan manusia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Interaksi dan Amanat Jabatan Imigresen Kelantan di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah di sini, hari ini.

Terdahulu, Mustafar dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Datuk Moh Samsudin Yusof menyaksikan lafaz Ikrar bebas Rasuah (IBR) oleh 200 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Kelantan, yang diketuai Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustafar berkata seramai 8,000 PATI ditahan dan 186 majikan dikenakan tindakan undang-undang selepas pendaftaran E-Kad tamat hujung Jun lepas.

Beliau turut menyasarkan aktiviti pembayaran berkaitan jabatan itu dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya pada tahun ini bagi mengelakkan aktiviti pemerdagangan orang dan rasuah.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS