Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
APMM tahan kapal korek asing berlabuh tanpa kebenaran

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal korek pasir kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang, kira-kira 5 batu nautika ke barat laut Tanjung Piandang semalam.

Pengarah APMM Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Rozali Mohd Said berkata kapal korek dinaiki seorang nakhoda dan 10 kru kapal semuanya warga China ditahan kira-kira 1.40 tengah hari.

"Sebuah bot laju APMM menjalankan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot serta kapal di sekitar perairan Pulau Pinang, dan mengesan sebuah kapal korek pasir yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum bot rondaan itu membuat pemeriksaan kerana berkemungkinan mereka melakukan aktiviti pengorekan pasir di kawasan yang tidak dibenarkan.

"Bagaimanapun setelah melakukan pemeriksaan, didapati kapal korek itu hanya melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di luar batas pelabuhan daripada Jabatan Laut Malaysia," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan akan disiasat menurut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) MSO 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Rozali berkata APMM Pulau Pinang turut menahan sebuah bot tunda 'Oceanline 282' atas kesalahan yang sama iaitu bersauh tanpa kebenaran pada pukul 4.45 petang semalam.

"Bot tersebut ditahan di kedudukan 6 batu nautika ke barat laut Tanjung Piandang dan seorang nakhoda bersama lapan orang awak-awak warga Indonesia berada di atas bot ketika itu. Mereka turut ditahan," katanya.

Dalam pada itu, Rozali berkata pihaknya juga menahan sebuah vesel kargo 'Hyperwin' kerana melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) iaitu lesen vesel telah tamat tempoh di kedudukan 0.5 batu nautika timur Bagan Jermal dekat sini pukul 3.40 petang semalam.

Beliau berkata APMM Pulau Pinang akan mempertingkatkan lagi pemantauan dan rondaan bagi membanteras sepenuhnya aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut dan meminta orang ramai manyalurkan maklumat bagi membantu pihaknya.

"Selain itu, jika terdapat sebarang aduan atau kecemasan di laut orang ramai diminta menghubungi APMM di talian 24 jam iaitu MERS 999 atau pusat operasi kami 04-2626146," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS