Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Menantu Sultan Johor lafaz nikah guna bahasa Melayu
Diterbitkan:  Aug 14, 2017 2:27 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Puteri tunggal Sultan Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim sah bergelar isteri kepada jejaka Belanda Dennis Muhammad Abdullah dengan sekali lafaz dalam bahasa Melayu di istiadat akad nikah di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

Pasangan diraja itu dinikahkan oleh mufti Datuk Mohd Tahrir Samsudin yang diperkenankan oleh sultan Johor sebagai wakil rasmi baginda.

Keluarga pengantin perempuan yang diwakili Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pengantin lelaki, yang diwakili bekas setiausaha kerajaan negeri Johor Datuk Ismail Karim.

Keluarga pengantin perempuan dan lelaki bertukar hantaran yang dibawa masuk oleh anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN).

Hadiah yang disampaikan keluarga diraja Johor kepada pengantin lelaki merangkumi cincin emas, al-Quran; sejadah; persalinan baju Melayu Teluk Belanga dan sampin; sirih junjung, kek, bunga rampai dan halwa maskat.

Istiadat pernikahan yang menyusul sejurus selepas istiadat pertunangan dan majlis hantaran itu disaksikan Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, serta ahli keluarga dan rakan terdekat.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che’ Puan Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong Tunku Idris Iskandar Al-Haj; Tunku Panglima Tunku Abdul Rahman Al-Haj Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Hadir sama, ibu bapa pengantin lelaki, Martin dan Henriette Verbaas, ahli keluarga dan rakan terdekat dari Belanda.

Pengantin lelaki kemudiannya dibawa ke bilik tingkat atas bagi menyempurnakan "istiadat menyarung cincin".

Dennis menyarungkan cincin perkahwinan di jari manis tangan kanan Tunku Tun Aminah serta memberikannya mas kahwin sebanyak RM22.50.

Pasangan yang kelihatan anggun dan tampan mengenakan busana tradisional Johor, baju

kurung Teluk Belanga dan baju Melayu Teluk Belanga serba putih itu kemudian turun ke bawah sebelum mencium tangan ibu bapa masing-masing dan juga ahli keluarga yang lain.

Dennis juga mengenakan songkok dengan dua kerongsang yang sama digunakan oleh almarhum Sultan Iskandar pada hari perkahwinannya, yang diberikan oleh bondanya, Sultanah Aminah Ungku Ahmad.

Istiadat berlangsung dengan menampilkan segala keunikan, kekayaan warisan serta tradisi dan adat istiadat diraja Johor.

Di sebelah malam, pasangan itu akan diraikan dalam istiadat persandingan di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor Bahru.

Kira-kira 1,200 tetamu akan menghadiri majlis ringkas tapi penuh bermakna itu yang akan turut dipancarkan secara langsung kepada orang ramai menerusi skrin digital gergasi, ditempatkan di Dataran Bandar Raya dan bangunan Majlis Bandar Raya Johor Bahru.

Lihat Komen
ADS