Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Mahathir lebih berani berbanding Najib’
Diterbitkan:  Aug 15, 2017 11:37 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berpendapat ayahnya, Tun Dr
Tun Dr Mahathir Mohamad lebih berani berdepan dengan audien untuk menjawab soalan ‘panas’ berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang gagal muncul di pentas Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam, Ahad lalu.

Malah, katanya, selain berani bersedia mengambil risiko, pengerusi BERSATU itu bersedia berdepan pelbagai soalan yang diajukan di sebalik provokasi berterusan dilakukan terhadapnya ketika menjawab soalan.

“Soalan berkaitan peristiwa Memali pun belum habis dijawab, ketika Mahathir memperjelas jawapan, ketika itu juga individu terbabit melakukan provokasi.

“Namun beliau berani berdepan berbanding pihak satu lagi yang tak hadir,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian selepas perasmian persidangan DUN Kedah di Alor Setar, semalam.

Menurut bekas menteri besar Kedah itu, penganjuran program bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua pihak memperjelas isu dibangkitkan, namun bertukar kecoh.

Ini selepas Dr Mahathir diasak dua isu panas, iaitu Memali dan tuduhan liwat terhadap bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sepatutnya ia program ilmiah dan panel diberikan peluang berucap secara intelektual dalam suasana aman, dan digalakkan bertanya apa jua soalan kepada kedua pihak supaya rakyat sendiri buat pilihan, siapa antara mereka beri jawapan paling meyakinkan.

“Malangnya Najib tak hadir,” kata Mukhriz sambil menambah, ayahnya tetap memberi jawapan walaupun diajukan soalan panas.

“Mahathir turut sentuh beberapa perkara yang sebelum ini diulas termasuk isu salah laku Najib, mungkin pihak sana tak dapat beri respons ilmiah, kerana wakilnya tak hadir, maka cara protes adalah dengan baling kerusi dan lontar suar,” katanya.

Program yang bermula pada jam 3 petang itu kemudian bertukar menjadi ganas pada kira-kira jam 5.30 petang ketika Mahathir menjawab soalan. Selipar dan kasut dilemparkan ke arahnya. Ini diikuti oleh beberapa objek lain termasuk kerusi, botol air dan suar di dalam dewan.

Bagaimanapun, tiada objek mengenai Mahathir apabila anggota keselamatan bergegas untuk melindunginya. Pertempuran kemudian berlaku apabila penyokong BERSATU cuba menghadapi provokasi berkenaan yang akhirnya melarat ke luar dewan.

Lihat Komen
ADS