Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Utusan dakwa sikap Mahathir punca kekecohan
Diterbitkan:  Aug 15, 2017 12:04 PM
Dikemaskini: 4:11 AM

Akhbar Utusan Malaysia milik Umno hari ini mendakwa kekecohan semasa forum Nothing To Hide 2.0 anjuran Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Ahad lalu adalah berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad cuba menyembunyikan banyak perkara.

Dalam satu rencana bertajuk ‘Sikap Dr Mahathir punca kekecohan’ wartawan akhbar itu, Mohd Asron Mustapha mendakwa, kekecohan tercetus apabila Dr Mahathir tidak menjawab dengan jelas setiap persoalan sehingga menimbulkan ketidakpuasaan hati mereka yang hadir.

“Malah, bekas perdana menteri yang mentadbir negara selama 22 tahun itu juga langsung tidak menyentuh mengenai isu kekayaan keluarganya, meskipun perkara itu dipersoal banyak pihak, termasuk oleh exco Armada PPBM sendiri baru-baru ini.

“Sedangkan isu kekayaan keluarga khususnya anak-anak beliau menjadi buah mulut serta persoalan banyak pihak, tetapi bagi Dr.Mahathir, kekayaan luar biasa tersebut seolah-olah bukan isu kepadanya kerana yang salah hanyalah Datuk Seri Najib Razak,” kata akhbar itu.

Menurut penulis, bibit-bibit panas mula timbul apabila penyokong Dr Mahathir bertindak mengganggu soalan daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila sering kali kedengaran “isu lama”, “sudah dijawab” ketika persoalan mengenai bekas timbalan perdana Menteri yang dipenjarakan kerana kes liwat itu dibangkitkan.

Penulis juga membangkitkan apabila salah seorang peserta yang dikenali sebagai Fariz Hadi bertanyakan soalan mengenai Anwar dan apakah beliau sedia untuk meminta maaf kerana memenjarakan bekas timbalannya itu, Dr Mahathir bukan sahaja tidak menjawab tetapi memilih pusing cerita.

“Kepada Dr Mahathir, persoalan sedemikian walaupun penting khususnya buat penyokong Anwar tetapi hanya bertujuan memecah-belahkan Pakatan Harapan, sedangkan dakwanya, Ketua Umum PKR tersebut sendiri tidak pernah menuntutnya supaya memohon maaf atas insiden pada 1998 itu,” katanya.

Dr Mahathir dalam forum tersebut sekadar berkata: "Saya jumpa dengan Anwar, yang peliknya dia tidak tanya soalan itu. Anwar tidak tegur saya buat aniaya kepada dia atau tidak. Itu perkara lama, kalau kita nak ungkit perkara lama, sampai sudah tak habis. Saya jumpa Anwar banyak kali, Anwar tak minta pun saya minta maaf."

Menurut Utusan, kemuncaknya apabila Dr Mahathir mempertahankan tindakan polis dalam tragedi Memali pada 1985 menyebabkan kemarahan peserta forum tidak dapat dibendung sehinggalah terjadinya aksi baling kasut, suar dan kerusi kepada bekas perdana menteri itu.

Penulis mendakwa individu yang bertanyakan itu adalah Exco Armada BERSATU, Mohamad Taufik Abas, dan bukannya ahli Umno.

“Langkah mengaitkan Umno itu bukan pelik kerana sememangnya itulah alasan berzaman pembangkang setiap kali timbul isu yang memperlihatkan kelemahan mereka di mata rakyat.

“Sedangkan, insiden tersebut mungkin dapat dielakkan jika Dr Mahathir lebih bertanggungjawab ketika memberikan jawapannya dan lebih terbuka untuk bercakap mengenai kekayaan keluarganya, selain soal hubungannya dengan Anwar kerana kemarahan penyokong Anwar kepadanya masih membara,” katanya.

Program Nothing to Hide Ahad lalu yang bermula pada jam 3 petang itu kemudian bertukar menjadi ganas pada kira-kira jam 5.30 petang. Selipar dan kasut dilemparkan ke arah Dr Mahathir. Ini diikuti oleh beberapa objek lain termasuk kerusi, botol air dan suar di dalam dewan.

Bagaimanapun, tiada objek mengenai Mahathir apabila anggota keselamatan bergegas untuk melindunginya. Pertempuran kemudian berlaku apabila penyokong BERSATU cuba menghadapi provokasi berkenaan yang akhirnya melarat ke luar dewan.

Lihat Komen
ADS