Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kastam rampas Methamphetamine bernilai RM10.55 juta
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 7:02 AM
Dikemaskini: 11:04 PM

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas enam bungkusan guni disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 150.72 kg bernilai RM10.55 juta, dalam serbuan di sebuah premis di Seri Kembangan, kelmarin.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri T Subromaniam berkata dadah itu dirampas anggota cawangan narkotik JKDM dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

Katanya dalam serbuan itu, seramai tujuh lelaki iaitu lima warga Bangladesh, seorang Nepal dan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 43 tahun turut ditahan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda turut dirampas.

"Ketika serbuan terdapat tujuh orang pekerja sedang memunggah guni disyaki mengandungi dadah jenis Methamphatamine dari kontena ke premis.

"Hasil siasatan mendapati 800 bungkusan guni dari sebuah kontena itu telah diikrar sebagai bahan kimia jenis magnesium sulfat yang telah melepasi pemeriksaan Kastam namun enam daripada 800 guni itu sebenarnya mengandungi dadah," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Nilai semalam.

Subromaniam berkata barang dagangan bersama barang disyaki dadah itu telah dibawa masuk dari Chennai, India ke Pelabuhan Klang.

"Kita percaya penyelupan ini merupakan kali ke-20 disyaki dilakukan sindiket sama berdasarkan modus operandi iaitu mereka ikrar bahan dagangan sebagai magnesium sulfat untuk mengaburi pihak berkuasa terhadap aktiviti penyeludupan dadah mereka.

"Kita akan jalankan siasatan terperinci terhadap 19 aktiviti penyeludupan yang telah dilakukan sindiket ini sebelum ini dan ketika ini juga kita sedang melakukan siasatan dari segi syarikat penghantaran termasuk tempat simpanan barang," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek warganegara asing yang ditahan itu, mereka bekerja di sebuah kilang di Seri Kembangan dan kesemua mereka memiliki E-kad.

Beliau juga menegaskan pihaknya tidak menafikan akan terdapat lebih ramai lagi yang akan ditahan selepas ini.

Katanya kesemua suspek yang ditahan kini direman tujuh hari bermula semalam dan akan didakwa dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS