Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
The Australian: Sirul rayu Canberra agar tidak tolak visanya
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 11:49 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Bekas komando polis Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati di Malaysia dilaporkan membuat rayuan kepada pihak berkuasa Australia supaya tidak menolak permohonannya bagi mendapatkan visa.

Ini kerana, sekiranya tidak diberikan visa perlindungan tersebut, Sirul akan dihantar pulang ke Malaysia.

Menurut akhbar The Australian, peguam Sirul membuat rayuan itu selepas Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia berkata, mereka mungkin menolak permohonan visa bekas anggota polis itu kerana melakukan 'jenayah bukan politik yang serius' sebelum memasuki Australia.

Laporan itu berkata, peguam Sirul mempunyai tempoh sehingga Isnin untuk memberi keterangan bagi menyokong tuntutannya atas alasan Sirul telah dijadikan kambing hitam politik.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan pembebasannya di atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu dari Mongolia dan menjatuhkan semula hukuman mati terhadapnya sebelum ini.

Sirul dituduh melakukan jenayah berkenaan pada 2006 bersama seorang lagi anggota polis, Azilah Hadri.

Kedua-dua anggota itu adalah pengawal pengiring kepada timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Sekiranya permohonan Sirul bagi mendapatkan visa ditolak, beliau mungkin berdepan dengan penahanan yang tidak ditentukan tempohnya di Australia kerana negara itu tidak mengekstradisi buruan yang berdepan hukuman mati.

Pada bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Putrajaya belum merancang untuk mengekstradisi Sirul kerana tidak mempunyai ruang untuk berunding dengan pihak berkuasa Australia.

Dalam jawapan di parlimen, Ahmad Zahid berkata Malaysia tidak dapat mengekstradisi Sirul kerana undang-undang Australia menghalang ekstradisi untuk tujuan hukuman mati.

[Baca berita asal] 

Lihat Komen
ADS