Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perhebatkan pengajian Melayu
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 2:33 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Pengajian dunia Melayu hendaklah diperhebat demi kesinambungan tamadun warisan bangsa itu sendiri, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata generasi muda hari ini hendaklah mencari jalan bagaimana Melayu terus 'diselamatkan' dan memulihara warisan yang boleh dibanggakan.

"Pengajian Melayu, tamadun Melayu dan pengajian Islam mesti diperhebatkan lagi, jangan dikuncupkan pengajian ini sebab asal-usul kita mesti kita kaji dan kita hargai.

"Bagaimanapun, ini memerlukan daya siasah dan perjuangan yang kuat," katanya ketika merasmikan Wacana Naskhah Sastera Tradisional Negeri Sembilan anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Seremban hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, anggota Lembaga Pengelola DBP Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan Mohd Radzi Omar dan Pemangku Pengarah LMNS Aziz Mohd Gorip.

Katanya pengkaji sejarah Melayu di universiti juga harus memainkan peranan untuk terus membuat kajian dan penyelidikan dan lebih ramai orang Melayu muncul untuk menulis, mencatat dan juga menyumbang tenaga fikiran untuk bangsanya.

Rais turut mencadangkan untuk mewujudkan institut adat Melayu di negeri ini.

Sementara itu, Abang Sallehuddin berkata naskhah Melayu lama merupakan sebahagian daripada karya agung Melayu yang sangat bernilai dalam pelbagai bidang ilmu dan naskhah itu perlu difahami, dikaji, diamalkan dan diperturunkan untuk generasi masa kini.

"Ilmu yang terkandung di dalamnya seharusnya dipugar dan dimanfaatkan demi memperkasakan tamadun Melayu sesuai dengan keperluan masa kini dan akan datang.

"Hasil kajian yang berwibawa terhadap naskhah ini diharap dapat memperkaya khazanah ilmu tersedia sebagai bahan rujukan persuratan Melayu.

“Pendekatan terkini yang ditekankan dalam bidang penyelidikan naskhah adalah dengan meneliti kepentingan naskhah tersebut daripada aspek persejarahan, keintelektualan, kebudayaan dan epistemologi Melayu," katanya.

Rais berkata DBP sentiasa berusaha mengetengahkan hasil kajian dan dapatan baru dalam pelbagai bidang ilmu dan pemikiran yang dihasilkan oleh karyawan dahulu.

Katanya DBP membuka ruang kepada para cendekiawan pelbagai disiplin ilmu untuk bersama-sama mengemukakan buah fikiran dan bentuk kerjasama kepakaran yang sesuai dalam bidang masing-masing bagi merangka program penyelidikan dan penulisan yang dapat memperkaya khazanah persuaratan ilmu dan sastera tanah air.

Wacana itu bertujuan menghasilkan kajian dan dapatan pelbagai bidang ilmu dan pemikiran seperti ilmu agama, sejarah, sastera dan budaya yang dihasilkan oleh karyawan silam.

 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS