Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anggota parlimen doakan Jokowi lebih berisi
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 4:47 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

GLOBAL | Selain mengharapkan kesejahteraan bangsa dan negara, seorang anggota parlimen Indonesia turut berdoa agar presiden negara itu, Joko Widodo, bertambah berat badannya.

Anggota Parti Keadilan Sejahtera, Tifatul Sembiring, ketika membacakan doa itu di parlimen juga tidak lupa mendoakan presiden itu - yang lebih mesra dipanggil Jokowi - supaya sentiasa menghormati ulama.

Tifatul membacakan doa itu semasa permulaan sidang tahunan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) di Jakarta hari ini.

Kata bekas menteri itu, Jokowi ketika ini bertekad untuk memajukan bangsa Indonesia, namun susuk fizikalnya kelihatan kurus berlebihan.

Pada 2014 Jokowi pernah mengaku berat badannya hanya 54 kilogram.

"Berilah petunjuk kepada Presiden Republik Indonesia Bapak Joko Widodo, gemukkanlah badan beliau, ya Allah," kata Tifatul seperti dilaporkan Tempo.

Doa berkenaan segera menarik perhatian beberapa anggota MPR, malah sesetengahnya kelihatan tersenyum atau ketawa.

Kata Tifatul, Jokowi, 56, juga kini tidak mempunyai waktu cukup untuk berehat disebabkan bebanan kerja yang selalu ada.

Justeru dia melanjutkan doanya dengan berkata: "Imbangilah beliau dengan kesihatan dan kekuatan."

Lihat Komen
ADS