Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tabung Haji: Wukuf pada 31 Ogos bukan 1 Sept
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 6:07 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Lembaga Tabung Haji (TH) meminta jemaah haji Malaysia dan rakyat di tanah air supaya tidak mempercayai mesej yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas, berhubung tarikh penetapan Hari Wukuf yang kononnya pada Jumaat, 1 September.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa semua tarikh tahun hijrah termasuk penetapan Hari Wukuf dan Hari Raya Aidiladha bergantung kepada kalendar ummul qura' (kalendar hijrah) yang diguna pakai bersama dengan kerajaan Arab Saudi.

"Jadi, kalau mengikut kalendar ummul qura', Hari Wukuf pada 9 Zulhijah itu jatuh pada 31 Ogos 2017 iaitu pada Khamis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Tabung Haji di Hotel Abraj Al-Janadriyah di Makkah.

Beliau berkata demikian bagi memperjelas mesej yang tular dalam kalangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci ini, serta rakyat di tanah air sejak beberapa hari lepas, mengenai penetapan hari wukuf itu.

Mesej berkenaan kononnya menyatakan pihak kerajaan Arab Saudi memutuskan Rabu, 23 Ogos sebagai 1 Zulhijah dan Hari Wukuf pada Jumaat, manakala Hari Raya Aidiladha pada Sabtu, 2 September.

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata pada setiap tahun, kerajaan Arab Saudi akan melihat anak bulan sebelum mengisytiharkan bulan baharu dalam kalendar Islam.

"Misalnya pada bulan Zulhijah nanti, mereka (kerajaan Arab Saudi) akan melihat anak bulan pada 21 Ogos ini untuk menentukan sama ada keesokan harinya 30 Zulkaedah atau 1 Zulhijah, iaitu bulan baharu.

"Daripada itu, kita boleh tahu tarikh hari wukuf dan Hari Raya Aidiladha nanti. Saya berharap kita tunggulah pengisyhtiharan secara rasmi daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Wukuf di Arafah adalah hari kemuncak haji.

- Bernama

Lihat Komen
ADS