Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Anak istimewa merujuk kepada anak-anak yang mempunyai keperluan khas sama ada secara fizikal, sosial mahupun emosi.

Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun dengan kapasiti penduduk yang berpendidikan tinggi semakin meningkat, masyarakat sudah semakin membuka minda tentang kewujudan anak-anak istimewa dan perbezaan keperluan mereka.

Saya berhadapan dengan anak-anak istimewa setiap hari. Ia pilihan profesion saya yang dipandu oleh keinginan untuk memudahkan akses anak-anak istimewa seperti adik saya.

Akses adalah tidak mudah suatu ketika dahulu untuk adik saya yang bergantung kepada kerusi roda.

Namun kini, dengan kemajuan teknologi dan kesedaran yang semakin baik, akses untuk anak-anak ini dilihat semakin mudah.

Bagaimanapun, kita harus faham bahawa nak-anak istimewa bukan hanya terdiri daripada anak-anak yang memerlukan bantuan fizikal.

Dewasa ini, semakin ramai anak-anak yang didiagnosa sebagai austisme, hiperaktif, lewat perkembangan dan disleksia.

Justeru, memahami kepelbagaian keperluan anak istimewa merupakan tanggungjawab semua ahli dalam komuniti anak istimewa tersebut.

Berikut sembilan tips yang boleh kita semua amalkan bagi meraikan anak istimewa dalam komuniti dan seterusnya meningkatkan lagi tahap kebolehan berdikari golongan ini:

(1) Penyempurnaan kemudahan OKU

Hal Ini merujuk kepada menghormati kemudahan yang disediakan untuk golongan istimewa seperti parkir kereta, tandas Orang Kelainan Upaya (OKU) dan tempat duduk awam.

(2) Baca dan fahami pelbagai keadaan anak istimewa

Menjadikan diri kita sebagai individu yang berilmu tentang kepelbagaian keadaan anak istimewa dan apa yang mereka perlukan akan membantu mereka. Ia juga membanti kita memudahkan akses mereka dalam komuniti.

(3) Mempermudah urusan

Akses dalam komuniti bukan hanya merujuk kepada kemudahan fizikal. Akses dalam komuniti juga merujuk kepada sejauh mana masyarakat faham tentang keperluan dan kepelbagaian OKU.

Contohnya, seorang ibu yang mempunyai anak austisme mungkin perlu dibenarkan untuk membuat pembayaran dahulu di kaunter bayaran pusat membeli-belah bagi mengelakkan anak autistiknya menjadi “tantrum”.

(4) Fahami keadaan dan keperluan

Antara perkara yang boleh dilakukan oleh keluarga anak istimewa adalah dengan memahami keadaan dan keperluan anak istimewa sebaik-baiknya.

Amat penting untuk ibu bapa atau keluarga sendiri belajar secara mendalam tentang keadaan anak dan cara terbaik yang perlu dilakukan untuk membantu mereka.

Apabila anggota keluarga sendiri mempunyai kefahaman yang baik tentang keadaan anak istimewa, akan lebih mudahlah masyarakat memahami mereka.

(5) Advokasi kesedaran berkaitan keadaan anak kepada masyarakat

Anggota keluarga perlu menjadi pendidik terbaik untuk anak-anak istimewa mereka. Kongsikan bahan bacaan, tip membantu dan menguruskan anak-anak istimewa ini, serta bagaimana respon terbaik yang keluarga harapkan untuk anak istimewa kesayangan.

Melalui kemudahan media sosial, advokasi menjadi lebih mudah dan pantas.

(6) Bantu masyarakat fahami keperluan mereka

Bagi memudahkan masyarakat memahami keperluan anak istimewa, keluarga juga harus membantu masyarakat.

Anggota keluarga boleh menyediakan keratan-keratan maklumat kecil yang boleh diberikan kepada orang ramai jika keadaan memerlukan orang di sekelilingnya untuk memahami situasi mereka.

Sebagai contoh, ketika anak anda sedang “tantrum”, ketika anak anda tidak boleh menunggu dalam barisan kerana sudah “restless”, atau ketika anak anda perlu ke tandas dan memotong barisan, anda boleh edarkan keratan informasi tersebut kepada orang sekitar.

(7) Perkara yang boleh dilakukan institusi/ NGO

Institusi-institusi serta NGO boleh membantu memudahkan akses anak-anak istimewa dengan menjalankan programpendidikan masyarakat.

Hal Ini akan membantu memperbesarkan lagi capaian kesedaran tentang anak-anak istimewa.

(8) Advokasi Kemudahan OKU di tempat awam

Institusi dan NGO mempunyai capaian yang lebih besar dan justeru itu boleh memberikan kesan lebih besar. Melalui bantuan mendapatkan kemudahan OKU yang lebih baik, ia akan memudahkan akses anak-anak ini dan anggota keluarganya.

(9) Melakukan aktiviti inklusif

Aktiviti inklusif merujuk kepada aktiviti yang akan melibatkan komuniti umum dengan golongan istimewa.

Aktiviti seperti ini akan membuka mata komuniti tentang keberadaan golongan istimewa dan perlunya kebersamaan komuniti dalam membantu akses dan kebolehan golongan ini untuk berdikari.

Semoga tip-tip yang diberikan dapat membantu kita memahami anak-anak istimewa dengan lebih dekat seterusnya akan mempraktikkan tip-tip yang dinyatakan di atas bagi meraikan anak- anak istimewa ini dalam komuniti kita.


SITI AISYAH ROZALLI seorang ahli terapi kanak-kanak dan anggota Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bagi negeri Melaka.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS