Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pulang' dua jam sebelum berlepas ke Makkah
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 9:43 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Seperti jodoh, ajal maut memang menjadi rahsia milik Tuhan.

Hanya dua jam sebelum berangkat untuk menunaikan haji di Tanah Suci, seorang lelaki menghembus nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar Kedah pagi tadi.

Azizan Darus disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan pada jam 6.18 pagi.

Dia dijadual berlepas ke Jeddah pada jam 8 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim menaiki penerbangan KT57.

Azizan, 66, melapor diri bersama jemaah lain di TH Hotel & Convention Centre di Alor Setar pada malam semalam dan menguruskan dokumen yang sepatutnya.

Bagaimanapun lapor BH Online dia kemudian mengadu sukar bernafas kira-kira jam 1 pagi dan dikejarkan ke HSB untuk mendapatkan rawatan.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata Azizan meninggal dunia akibat pulmonary embolism (darah beku dalam saluran darah ke paru-paru).

Katanya arwah mempunyai sejarah masalah darah tinggi. Dia diperiksa serta-merta oleh pasukan perubatan di stesen berlepas lapangan terbang sebelum dirujuk ke HSB.

"Jemaah itu diberikan rawatan kecemasan serta-merta dan dirawat di zon merah Unit Kecemasan HSB dengan keadaannya kritikal serta tidak sedarkan diri beberapa kali," katanya.

Hasil maklumat keluarganya, kata Dr Norhizan, Azizan memang kurang sihat dan mengadu sesak nafas serta bengkak kaki sejak tiga hari lalu.

Lihat Komen
ADS