Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ivy, Ho disoal polis kerana perarakan 9 bulan lalu

Anggota Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Ivy Josiah, dan bekas presiden All Women’s Action Society (AWAM) Ho Yock Lin disoal siasat polis berhubung pembabitan mereka dalam perarakan menyokong Maria Chin Abdullah sembilan bulan lalu.

Perarakan Women 4 Maria itu diadakan pada 23 November tahun lalu bagi mendesak pembebasan pengerusi BERSIH itu daripada tahanan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Ho - yang diwakili peguam Firdaus Husni dan Vivian Kuan - berkata dia serta Josiah dihubungi polis melalui telefon pada 3 Ogos lalu.

Katanya, polis memaklumkan mereka mahu mengambil keterangan berhubung perarakan berkenaan.

Josiah ditemani peguam Honey Tan dan Matt Wong.

Kedua-dua mereka disoal siasat secara berasingan selama lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tengah hari tadi.

"Kami akan keliru dan terganggu kenapa polis memanggil kami selepas sembilan bulan. Ini adalah satu gangguan, mengambil masa kami dan tidak perlu," kata Josiah selepas keluar dari IPD itu.

Ho pula percaya "wang rakyat" boleh dibelanjakan lebih baik untuk keperluan lain berbanding menyoal siasat mereka.

Bagaimanapun dia berterima kasih kepada anggota polis atas sikap profesional mereka sepanjang sesi berkenaan berlangsung.

Katanya, dia dan Josiah tidak dimaklumkan secara khusus peruntukan mana mereka disiasat. Namun Tan berkata, daripada soalan yang dikemukakan ia dipercayai dibuat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Apabila kami bertanya mengapa siasatan ini dibuat selepas sembilan bulan perarakan berlangsung, seperti biasa mereka menjawab: saya mengikut perintah," kata peguam terbabit.

Maria yang turut hadir sebagai tanda sokongan berkata dia berang kerana penganjur perarakan aman itu disoal siasat polis.

"Saya sangat marah, dan saya fikir ia sangat tidak adil.

"Sejak memulakan konvoi BERSIH, kami ada 119 kes polis memanggil kami untuk siasatan, ini (kes Ho dan Josiah) adalah satu lagi tambahan.

"Mereka dipanggil selepas sembilan bulan. Adakah mereka akan terus memanggil orang yang berkaitan walaupun selepas dua tahun? Berapa banyak lagi yang polis nak panggil?" katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS