Kerajaan negeri Pulau Pinang akan membuat permohonan rasmi kepada Kementerian Kewangan mengenai hasrat memohon pinjaman daripada Export-Import Bank of China (EXIM) bagi membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) selepas mendapat kelulusan untuk membina projek itu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pihaknya tidak mengemukakan permohonan pinjaman itu kerana belum menerima kelulusan daripada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek itu.
"Kami memang tidak membuat permohonan kerana belum mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan untuk tujuan pembinaan projek PTMP itu. Sebaik kami (kerajaan negeri) mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan untuk melakukan projek LRT (Transit Aliran Ringan) ini, kami akan memulakan proses mendapatkan pinjaman," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di George Town semalam.
Lim berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani kelmarin bahawa Kementerian Kewangan belum menerima permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Pulau Pinang bagi pinjaman bernilai kira-kira RM1 bilion.
Dalam pada itu Lim meminta agar kerajaan persekutuan menimbang dan meluluskan permohonan daripada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek PTMP itu bagi mengelakkan kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.
Projek PTMP yang melibatkan kos RM27 bilion, mengandungi sebuah terowong dasar laut sepanjang 6.5km, tiga lebuh raya, LRT dan Penang Sky Cab (kereta kabel).
- Bernama
