Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tahu YDP jumpa Najib di Permatang Pauh
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 6:17 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Dalam lawatan rasmi Datuk Seri Najib Razak ke Permatang Pauh hari ini, antara individu yang bertuah hadir ialah pemimpin PAS di kawasan itu, Omar Hasan.

Melalui sekeping gambar yang tersebar di media sosial hari ini, Omar yang memegang jawatan yang dipertua (YDP) PAS dilihat duduk bersila bersama Najib dan kemudian makan sehidang.

Turut bersama mereka di Politeknik Permatang Pauh itu ialah Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow.

Perkembangan itu sekali lagi mencetuskan persepsi bahawa PAS memang semakin mesra dengan Umno.

Ia berlaku selepas presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir bersama pemimpin kanan Umno termasuk Najib dan anggota majlis tertinggi parti itu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Terengganu.

Untuk rekod Permatang Pauh adalah kawasan signifikan kepada pembangkang terutama PKR kerana ia menjadi kubu kuat parti itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memenangi kerusi berkenaan beberapa kali, dan kini ia dikuasai Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PAS sudah melancarkan jentera pilihan raya di kawasan berkenaan sebagai pengesahan akan meletakkan calon mereka di situ pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun PAS hari ini menjelaskan kehadiran Omar bersama Najib adalah atas kapasitinya sebagai pengerusi Masjid Jamek Seberang Jaya.

Konsisten lawan BN, DAP

Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh Jamsari Samad berkata Omar juga hadir selepas mendapat jemputan rasmi daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

"Beliau sebagai pengerusi Masjid Jamek Seberang Jaya dipilih untuk mewakili 28 pengerusi masjid yang lain yang ada dalam parlimen Permatang Pauh untuk menerima sumbangan komputer riba dan kewangan untuk kegunaan pentadbiran masjid," katanya.

Peluang bersemuka dengan Najib juga, kata Jamsari, digunakannya untuk meyuarakan isu umat islam dan Melayu di Pulau Pinang kepada perdana menteri.

"Kehadiran Omar ke majlis tersebut telah pun dimaklumkan terlebih dahulu kepada anggota jawatankuasa PAS Permatang Pauh dan dipersetujui semua anggota jawatankuasa dewan harian," katanya.

Kata Jamsari kehadiran Omar itu bagaimanapun dijadikan alasan oleh musuh PAS untuk kepentingan politik. Namun katanya ia sekadar menyerlahkan sikap tidak matang mereka.

Katanya, Omar sebelum ini pernah hadir dalam beberapa program kerajaan negeri atas kepasiti sebagai pengerusi masjid itu.

"Ia tidak menjadi isu bagi PAS kerana memahami kedudukan beliau sebagai pengerusi masjid yang mewakili anak kariah di Seberang Jaya yang bermacam fahaman politik," katanya.

Menanggapi perkembangan itu Jamsari berkata PAS yang beramal dengan budaya politik matang dan sejahtera melihat isu utu sebagai tanda terdesak musuh mereka yang semakin gerun.

"PAS Permatang Pauh konsisten menentang segala kerosakan dan kemungkaran yang dilakukan oleh Umno, BN dan kerosakan yang dilakukan kerajaan DAP serta Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 nanti," katanya.

Lihat Komen
ADS