Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skim insurans bencana bakal dilaksana di seluruh negara
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 6:50 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Skim Insurans Bencana bagi melindungi mangsa banjir bakal dilaksana dalam tempoh terdekat selepas Kabinet memberikan persetujuan pelaksanaannya pada 11 Ogos lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata permulaan skim berkenaan akan dilaksanakan membabitkan 100,000 ketua isi rumah di kawasan berisiko banjir di seluruh negara yang akan dikenal pasti oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

"Skim ini adalah untuk melindungi mangsa bencana melalui perlindungan insurans hasil kerjasama kerajaan dan syarikat insurans.

"Setiap penerima hanya dikenakan bayaran RM10 manakala kos selebihnya ditanggung oleh kerajaan dengan nilai pampasan berjumlah RM1,000," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Operasi Bencana di bangunan Parlimen hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abd Rashid Harun.

Shahidan berkata jawantankuasa khas agensi itu sedang meneliti terma dan syarat serta pelaksanaan skim berkenaan bagi memastikan mekanismenya berjalan lancar.

Skim insurans terbabit dijangka dapat membantu proses pemulihan semula kendiri mangsa akibat bencana dengan lebih cepat dan terurus apabila bayaran pampasan dapat diagihkan segera.

Skim insurans bencana diwujudkan berdasarkan satu pelan insurans menghadapi banjir yang diperkenalkan di Parlimen Kemaman sejak 2015, termasuk dalam model Kemaman Siap Siaga dan dikenali sebagai Skim Insurans Kampungku yang membolehkan mangsa banjir menerima pampasan RM1,000 dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.

Melalui Model Kemaman Siap Siaga yang diperkenalkan selepas berhadapan dengan banjir buruk pada 2014, penduduk daerah itu hanya membayar sebanyak RM50 dan tambahan RM24 lagi dibayar oleh Pejabat Parlimen Kemaman.

- Bernama

Lihat Komen
ADS