JPVS terima dua lagi sampel anjing positif virus rabies dari VRI
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) menerima dua lagi sampel anjing positif virus rabies daripada Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh, Perak yang dihantar pada 10 Ogos lepas untuk ujian Direct Fluorescent Antibody Test (FAT).
Menurut kenyataan JPVS, kedua-dua sampel berkenaan yang diterima hari ini adalah dari Kampung Kuala, Jalan Gedong, Serian.
Jabatan itu berkata bilangan sampel positif virus rabies setakat ini ialah 36 sampel anjing dan enam sampel kucing daripada 180 keputusan sampel yang diterima daripada VRI Ipoh.
Sementara itu, JPVS hari ini memvaksinkan sebanyak 139 ekor anjing di 10 buah kampung dalam daerah Serian dan secara kumulatif sebanyak 31,815 ekor haiwan kesayangan yang terdiri daripada 24,173 ekor anjing, 7,597 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksinkan.
JPVS juga meneruskan aktiviti penyiasatan kes-kes yang dilaporkan berkaitan wabak rabies dan setakat ini sebanyak 35,759 survelan aktif dan 870 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak rabies telah dilakukan oleh JPVS di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman.
Kenyataan itu menyebut sejumlah 193 sampel yang terdiri daripada 175 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar yang diperoleh dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Miri telah dihantar ke VRI Ipoh untuk ujian virus rabies.
Sementara itu, operasi bersepadu yang dikendalikan Kementerian Kerajaan Tempatan negeri bersama JPVS setakat ini telah menangkap 1,048 ekor anjing terbiar di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian sebagai langkah mengawal populasi anjing terbiar bagi mengekang jangkitan wabak penyakit itu.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 86 kes gigitan baharu dilaporkan hari ini, iaitu lapan kes di Bahagian Serian, empat di Sri Aman, 71 di Kuching dan tiga kes di Samarahan.
Daripada jumlah itu, 55 kes melibatkan haiwan peliharaan, iaitu 40 kes membabitkan anjing dan 15 lagi kucing, manakala 32 kes pula melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan, iaitu anjing (19 kes), kucing (11 kes) dan tikus (satu kes).
Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku sejak 1 April 2017 hingga hari ini sebanyak 2,586 kes dan secara kumulatif seramai 969 orang telah menerima suntikan vaksin anti-rabies.
- Bernama

