Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki maut ditikam dalam premis makanan segera
Diterbitkan:  Aug 18, 2017 6:16 AM
Dikemaskini: 10:22 PM

Seorang lelaki maut dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika mangsa sedang makan di sebuah premis makanan segera di Rantau Panjang semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Ibrahim Saad berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 5.45 petang ketika mangsa yang berumur 35 tahun bersama rakan wanitanya yang berusia 20-an sedang makan di tingkat atas premis tersebut.

"Mangsa dipercayai ditikam di bahagian dada dan belakang badan dengan sebilah pisau oleh suspek yang tidak dikenali berusia 30-an,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam tadi.

Ibrahim berkata suspek yang membawa bag galas menghampiri mangsa dan sempat bercakap beberapa patah perkataan sebelum mengeluarkan sebilah pisau dan menikam mangsa.

Beliau berkata selepas ditikam, mangsa terus berlari turun ke tingkat bawah premis tersebut untuk mendapatkan bantuan sebelum rebah di atas tangga manakala suspek melarikan diri melalui pintu belakang premis berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan bagi siasatan awal, polis sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut," katanya.

Katanya polis kini memburu suspek dengan membuat sekatan jalan raya di Cabang Empat Salam dan di Lalang Pepuyu di sini, serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi polis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS