Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rancangan buka pusat pemeriksaan sempadan Aruk-Biawak kepada kenderaan
Diterbitkan:  Aug 18, 2017 6:26 AM
Dikemaskini: 10:31 PM

Kerajaan Indonesia dan Malaysia, dengan kerjasama pihak berkuasa Kalimantan Barat dan kerajaan negeri Sarawak merancang untuk membuka pusat pemeriksaan sempadan Aruk-Biawak kepada kenderaan dan barangan dari kedua-dua negara, sama seperti di pusat pemeriksaan Entikong-Tebedu, kata Konsul Jenderal Indonesia di Kuching, Jahar Gultom.

Pada masa ini, sempadan itu tidak boleh dilalui kenderaan, walaupun terdapat pusat pemeriksaan Imigresen di situ. Aruk terletak di Kalimantan Barat, manakala Biawak di Sarawak.

Jahar berkata langkah membuka pusat pemeriksaan itu kepada kenderaan dan barangan dari kedua-dua negara tepat pada masanya dan amat diperlukan rakyat Indonesia, terutama yang tinggal di Sambas, memandangkan mereka perlu ke Kuching atas pelbagai urusan.

“Ia akan memudahkan mereka untuk ke Kuching melalui Aruk-Biawak dan keluar dari negeri ini melalui Kuching (pusat pemeriksaan Tebedu-Entikong) atau terbang ke Pontianak,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-72 di pejabat Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Jalan Stutong di Kuching semalam.

Jahar berkata langkah membuka sempadan itu kepada kenderaan dan barangan juga akan meningkatkan kerjasama ekonomi dan aktiviti perniagaan antara kedua-dua negara serta memupuk kerjasama dan hubungan antara kedua-dua negara, yang mempunyai rakyat daripada pelbagai etnik.

Katanya, di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo, kerajaan Indonesia membangunkan tiga pusat pemeriksaan iaitu Aruk, Entikong dan Nanga Badau di Sri Aman, kesemuanya di sempadan Sarawak-Kalimantan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS