Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hasrat Hindraf sertai HARAPAN perlu dibincang - Azmin

Keputusan sama ada untuk menerima kumpulan pendesak India, Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) menganggotai Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu dibincangkan dalam kerangka gabungan itu dahulu.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu boleh dibincangkan sekiranyanya ia terkandung dalam agenda mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN.

"Saya tidak pasti (pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Hindraf) sebab saya bertemu Setiausaha Agung DAP, (Lim) Guan Eng semalam, jadi saya tidak tahu.

“Perkara itu perlu dibincang dulu di kalangan HARAPAN dan kita ada Mesyuarat Majlis Presiden pada masa terdekat dan sekiranya perkara ini ada dalam agenda mesyuarat maka perkara ini akan dibincangkan terlebih dahulu," katanya.

Menteri Besar Selangor itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lembu Qurban di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru, Gombak hari ini

Azmin berkata demikian ketika mengulas pertemuan antara Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Pengerusi PHM, P Waythamoorthy di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam.

Pertemuan itu turut dihadiri bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada DAP dan bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid.

Dr Mahathir menyifatkan Hindraf salah satu bahagian kuat jentera pembangkang dan mampu membantu pakatan pembangkang menguasai kawasan luar bandar.

Semalam portal FMT turut melaporkan, hasrat PHM untuk menyertai HARAPAN itu turut diterima baik beberapa pimpinan kanan HARAPAN dan mereka bersetuju untuk memperjuangkan hak kaum India dinegara ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata partinya terbuka menerima kemasukan kumpulan berkenaan sebagai rakan komponen ke lima.

Manakala Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata PHM perlu bersetuju dengan beberapa polisi umum HARAPAN iaitu mempunyai hasrat yang sama untuk menjatuhkan Umno BN.

Pergerakan Hindraf menyumbang kepada protes terbesar komuniti India di Kuala Lumpur pada 2007 apabila puluhan ribu orang turun ke jalan raya kerana membantah perobohan kuil Hindu, serta keadaan sosioekonomi masyarakat itu di negara ini.

Susulan protes itu pemimpin utama Hindraf termasuk P Uthayakumar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka hanya dibebaskan pada 2009.

Ketika itu Waythamoorthy hidup dalam buangan di United Kingdom dan terbabit dalam saman ke atas kerajaan UK atas keadaan masyarakat India di Malaysia.

Kemudian berlaku perbezaan pendapat mengenai haluan Hindraf antara Uthayakumar dan Waythamoorthy.

Waythamoorthy kemudian kembali ke Malaysia pada 2012 dan mendaftar secara rasmi pergerakan itu sebagai PHM.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 Waythamoorthy menandatangani memorandum persefahaman dengan Perdana Menteri Dartuk Seri Najib Razak.

Selepas kerajaan menyokong pelan tindakan PHM, Wayhtamoorthy menyatakan sokongannya kepada BN.

Selepas PRU Wayhtamoorthy kemudian dilantik menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri tetapi dia akhirnya meletak jawatan pada 2014 atas alasan kerajaan gagal mengotakan janjinya untuk membantu masyarakat India

Lihat Komen
ADS