Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Program 'rehiring', 3+1 tidak akan disambung
Diterbitkan:  Aug 18, 2017 6:19 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Program Rehiring dan Program 3+1 untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak akan dilanjutkan selepas tempoh pelaksanaan berakhir 31 Disember ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata pendirian tegas itu diambil sebagai ingatan kepada PATI dan majikan agar tidak mengambil mudah terhadap peluang yang diberikan melalui kedua-dua program tersebut.

"Kita tidak mahu sikap sambil lewa atau tunggu hingga saat akhir yang mereka tunjukkan semasa pelaksanaan pendaftaran E-Kad baru-baru ini berulang.

"Mereka boleh lakukannya lebih awal tetapi sengaja tunggu saat akhir, namun dalam hal Rehiring dan 3+1 ini, kita tegas dan tidak akan berkompromi," katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan setia berjasa jabatan itu di Putrajaya hari ini.

Program Rehiring merujuk kepada Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati yang berkelayakan manakala 3+1 ialah program serah diri sukarela yang melibatkan sama ada majikan sendiri menyerahkan PATI atau PATI menyerah diri kepada pihak berkuasa sebelum pulang ke negara asal.

Mustafar berkata seramai 493,145 PATI telah didaftarkan oleh 132,805 majikan untuk Program Rehiring sejak 15 Feb 2016 hingga semalam yang mana daripada jumlah itu, 129,000 daripada mereka telah berjaya dalam permohonan masing-masing.

Beliau berkata pelaksanaan Program 3+1 pula menyaksikan 36,102 PATI diusir keluar dari negara ini tahun ini.

Mengenai Op Mega E-Kad, beliau berkata operasi yang dimulakan sejurus permohonan pendaftaran kad sementara itu berakhir 31 Jun lepas telah membawa kepada penahanan seramai 8,886 orang, melibatkan 8,662 PATI dan 224 majikan.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan, penahanan dan pendakwaan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan sasaran kesemua 400,000 hingga 600,000 PATI yang masih bebas dapat ditadbir jabatan tersebut.

Dalam pada itu, Mustafar berkata beliau akan bertemu dengan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif pada Selasa depan bagi membincangkan mengenai perjalanan Mahkamah PATI, antara lain bagi membolehkan lebih banyak perbicaraan diadakan berbanding hanya sekali seminggu yang dilaksanakan di depoh tahanan ketika ini.

"Perkara itu perlu diberi perhatian bagi mengelak kesesakan berlaku di depoh tahanan berikutan kekerapan operasi dan bilangan PATI yang ditahan ketika ini," katanya.

Beliau turut mengumumkan Jabatan Imigresen telah memperolehi kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengambil 500 kakitangan baharu minggu lepas bagi memperkasakan lagi pengoperasian jabatan itu di pintu masuk utama negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS